KUALA KRAI: Lebih 50 tetamu yang menghadiri majlis perkahwinan berdepan detik cemas apabila sebuah titi gantung di Sungai Chatel Damai, Lata Rek di sini runtuh secara tiba-tiba menyebabkan mereka terjatuh ke dalam sungai semalam.
Kejadian pukul 2 petang itu dipercayai berlaku apabila rombongan pengantin lelaki bertembung dengan tetamu yang selesai menghadiri kenduri di atas titi gantung tersebut yang menyebabkan ia runtuh selepas tidak mampu menampung beban.
Penghulu Mukim Lata Rek, Mohd. Zaki Saari berkata, situasi itu menyebabkan seorang lelaki patah kaki selepas terjatuh di atas batu.
Katanya, kejadian itu turut menyebabkan seorang kanak-kanak cedera di bahagian kepala manakala tiga lagi individu luka ringan serta sesak nafas.
“Saya dimaklumkan semasa kejadian lebih 50 orang menggunakan laluan titi itu dalam masa yang sama.
‘Rombongan pengantin lelaki dari Pasir Puteh ingin pulang selepas majlis selesai, manakala tetamu daripada pengantin wanita pula baharu sampai ke kenduri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Zaki memberitahu, kesemua individu yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk rawatan lanjut.-UTUSAN










