KANGAR: Lima lelaki warga Thailand dihukum penjara lima tahun selepas mengaku bersalah atas kesalahan melindungi migran di Bukit Wang Burma di Wang Kelian, Padang Besar dekat sini antara tahun 2013 hingga 2015.
Tertuduh, Suchat Tohdin, 38, Jehpa Lapi-E, 58, Somphon A-Dam, 53, Arun Kaeofainok, 31 dan Amree Nesalaeh, 60, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas.
Dalam prosiding pertama, empat tertuduh didakwa telah melindungi lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Mohd Belal dengan mengetahui bahawa orang itu merupakan migran yang diseludup.
Berikutan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26H Akta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang boleh dihukum bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun dan boleh didenda atau keduanya sekali.
Bagi prosiding kedua, tertuduh, Amree turut dihukum penjara lima tahun selepas mengaku bersalah melindungi migran di Bukit Wang Burma di Wang Kelian, Padang Besar dekat sini antara Februari 2013 hingga April 2013.
Berdasarkan pertuduhan, Amree didakwa telah melindungi lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Zedul Islam dengan mengetahui bahawa orang itu merupakan migran yang diseludup.
Oleh demikian, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26H Akta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang boleh dihukum bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun dan boleh didenda atau keduanya sekali. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Christopher Enteri Anak Mawan dan Mohd Izham Ali.
Selain itu, Suchat pula diwakili Tetuan Bahar & Co melalui peguam, Fatin Hayati Abdul Rahman manakala tertuduh lain diwakili peguam V. Rajadevan. Semasa prosiding, pihak pendakwaan memohon hukuman berat ke atas semua tertuduh memandangkan kes berkenaan melibatkan ancaman keselamatan buat negara dan sempadan.
Peguam mewakili Suchat pula memohon mahkamah agar mengenakan hukuman munasabah berikutan anak guamnya telah berkahwin dan mempunyai tanggungan tiga anak berusia 15-22 tahun. Selain itu, Suchat juga perlu menanggung seorang ibu yang uzur selain dirinya sendiri turut mengidap penyakit HIV.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas semua tertuduh bermula dari tarikh tangkapan.-UTUSAN










