KUALA KRAI: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menambah dua perkhidmatan baharu Shuttle Timuran (ST) bagi laluan Gemas–Kuala Lipis berkuatkuasa 1 Januari lalu.
Pemangku Pengurus Besar Perkhidmatan ETS dan Antarabandar, Mohd. Azhar Abu Bakar berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah perkhidmatan itu kepada enam tren sehari sekali gus memberi kemudahan kepada pelajar sekolah dan penduduk setempat.
“Inisiatif ini adalah untuk memberi peluang kepada para pengguna di Pantai Timur, khususnya, mereka yang ingin membuat perjalanan ke arah Selatan dan merasai pengalaman menaiki ETS3 melalui transit di stesen Gemas.
“Malah penyusunan jadual yang lebih teratur membolehkan pelajar dan penduduk merancang perjalanan dengan lebih baik, seterusnya meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan rel di kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita semasa Program KTMB Santuni Pelajar Sekolah Wilayah Pantai Timur sempena Hari Pertama Persekolahan 2026 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Azhar memberitahu, KTMB menyasarkan peningkatan jumlah penumpang ST kepada 687,214, manakala Ekspres Rakyat Timuran (ERT) pula seramai 368,875 penumpang pada tahun ini selari dengan penambahbaikan perkhidmatan dan keperluan mobiliti komuniti setempat.
Katanya, sepanjang tahun lalu, perkhidmatan ST merekodkan seramai 395,163 penumpang, manakala ERT mencatatkan jumlah penumpang seramai 666,121.
“Menerusi pelaksanaan Program MyRailLife oleh KTMB adalah selari dengan pengumuman kerajaan menerusi Belanjawan 2026 yang memperkenalkan kemudahan tambang percuma kepada kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah, berkuatkuasa 1 Januari lalu.
“Sehingga tahun 2025, ekosistem MyRailLife sudah mencatatkan jumlah keseluruhan 43,464 pendaftaran, sekali gus mencerminkan penerimaan yang memberangsangkan dalam kalangan pengguna perkhidmatan rel,” ujarnya.-UTUSAN










