KLANG: Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan perbincangan lanjut di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengenai saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya projek ladang babi berpusat di Bukit Tagar dibatalkan.
Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Ng Suee Lim berkata, pihaknya juga sedang menunggu makluman daripada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bagi membincangkan perkara itu.
Beliau berkata, buat masa ini belum ada sebarang kelulusan diberikan oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bagi pelaksanaan pembinaan ladang babi berpusat di kawasan berkenaan.
“Kita sedang menunggu makluman daripada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk mengadakan perbincangan (di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk tindakan lanjut.
“Tiada masalah, kita akan berbincang. Lagi pun perkara itu baru dimaklumkan oleh Perdana Menteri. Namun di peringkat PBT belum ada progres lagi,” katanya ketika ditemui semalam.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, Perdana Menteri menyarankan agar projek ladang babi berskala besar di Bukit Tagar dibatalkan susulan keresahan masyarakat pelbagai kaum.
Malah, beliau juga menekankan nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Susulan cadangan, beliau memaklumkan perbincangan akan diadakan dengan Menteri Besar Selangor bagi menilai lokasi alternatif yang lebih sesuai dengan penggunaan teknologi moden.
Minggu lalu, kira-kira 400 penduduk dan individu dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di hadapan pintu masuk Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Felda Sungai Tengi Selatan, Hulu Selangor bagi menyatakan bantahan pembinaan ladang babi berpusat di Bukit Tagar.
Kerajaan negeri sebelum ini bercadang membina ladang babi moden berpusat di atas tapak seluas kira-kira 202 hektar di Bukit Tagar bagi memindahkan ternakan dari Tanjung Sepat, Kuala Langat berikutan masalah pencemaran air dan bau. – UTUSAN










