PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda hanya perlu membayar RM1.38 juta kepada keluarga mendiang Altantuya Shaariibuu.
Ia selepas Mahkamah Rayuan di sini semalam mengurangkan jumlah ganti rugi tersebut daripada ganti rugi asal berjumlah RM5 juta.
Keputusan sebulat suara dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Hashim Hamzah yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Hakim K. Muniandy.
Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya menyatakan Mahkamah Tinggi telah terkhilaf daripada segi undang-undang apabila menganugerahkan ganti rugi asal sebanyak RM5 juta yang diputuskan pada Disember 2022.
Panel terbabit memutuskan bahawa kerajaan tidak bertanggungjawab secara vikarius (tanggungan) terhadap tindakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar dengan alasan mereka tidak menjalankan tugas rasmi pada masa pembunuhan berlaku pada 2006.
Menurut penghakiman ringkas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, penggunaan bahan letupan dan senjata api yang dikeluarkan kerajaan tidak menjadikan suatu perbuatan jenayah itu termasuk dalam skop pekerjaan.
“Bahan berkenaan adalah alat yang digunakan bagi suatu perusahaan haram yang tidak dibenarkan dan sepenuhnya terpisah daripada tugas mereka sebagai pegawai polis UTK.
“Tidak terdapat walau sedikit pun bukti yang menunjukkan atau membuktikan bahawa mereka bertindak atas arahan kerajaan,” kata Hakim K. Muniandy yang membaca penghakiman panel tersebut yang diketuai Datuk Hashim Hamzah (kini Hakim Besar Malaya) yang turut bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah.
Mahkamah sehubungan itu memutuskan pihak kerajaan dilepaskan sepenuhnya daripada sebarang liabiliti kerana sebarang tuntutan yang timbul daripada kematian dikawal selia secara ketat di bawah Seksyen 7 Akta Undang-Undang Sivil 1956 yang mana ia mesti bersifat pampasan, bukannya hukuman atau vindikatif.
Pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian itu, panel Mahkamah Rayuan mengesahkan dapatan mahkamah terdahulu berhubung konspirasi dan pembabitan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dalam kematian Altantuya.
“Abdul Razak berhujah, beliau tidak berniat menyebabkan kecederaan fizikal dan pembabitannya hanya terhad kepada usaha mendapatkan bantuan polis bagi menangani isu gangguan, bagaimanapun mahkamah mendapati hujahan itu tidak berasas selepas meneliti rekod rayuan secara menyeluruh.
“Kehadiran Azilah dan Sirul Azhar di hotel mangsa dan tindakan mereka memintas Altantuya di rumah Abdul Razak adalah sepenuhnya dipermudahkan oleh maklumat yang diberikan oleh Abdul Razak sendiri.
“Rangkaian peristiwa ini menunjukkan wujudnya niat bersama untuk melucutkan kebebasan Altantuya, kelakuan sedemikian tidak selari dengan tindakan pihak yang tidak bersalah dan menunjukkan adanya niat bersama untuk memastikan kehilangan mangsa,” kata Hakim Muniandy.
Mahkamah Rayuan turut bersetuju dengan dapatan hakim bicara bahawa Azilah dan Sirul Azhar tidak mempunyai motif untuk membunuh Altantuya dan bahawa tindakan mereka adalah akibat langsung daripada permintaan serta bantuan yang diberikan oleh Abdul Razak.
Saman itu difailkan bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev; ibunya, Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, pada 4 Jun 2007.
Bagaimanapun, Altanshagai meninggal dunia pada 2017 dan dikeluarkan daripada senarai plaintif.
Saman itu difailkan terhadap kerajaan, Abdul Razak, Sirul dan Azilah dengan mendakwa wujudnya satu konspirasi di sebalik pembunuhan kejam itu.
Pada 16 Disember 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman yang difailkan keluarga itu. Kerajaan dan Abdul Razak merayu keputusan itu namun Azilah dan Sirul Azhar tidak merayu terhadap keputusan berkenaan.-UTUSAN.










