ARAU: Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabantangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamaq menunjukkan keberkesanan kerjasama dengan parti-parti lain untuk kesinambungan politik perkhidmatan kepada rakyat.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, kemenangan di Kinabantangan dan Lamaq itu membuktikan bagaimana apa yang telah diusulkan mengenai rumah besar UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini mula menampakkan hasil.
Katanya, kejayaan dengan majoriti besar itu juga apabila UMNO yang didukung dan diberikan sokongan oleh parti-parti tempatan di Sabah.
“Saya percaya yang gabungan seperti ini akan kita terjemahkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya di sini hari ini.
Keputusan PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan Mohd. Kurniawan berjaya mempertahankan kerusi yang disandang Allahyarham bapanya sejak 1999 selepas meraih majoriti 14,214 undi, menewaskan Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).
Bagi PRK DUN Lamag, Mohd. Ismail mengekalkan kerusi tersebut untuk BN apabila memperoleh majoriti 5,681 undi, mengatasi pencabarnya Mazliwati Abdul Malek daripada Warisan.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember tahun lalu.
Rozabil berkata, dalam soal kerjasama dengan mana-mana parti dalam PRU16 masih di peringkat kajian di mana dalam PAU baru-baru ini banyak diperbincangkan mengenai hala tuju UMNO dalam berdepan pilihan raya tersebut.
“Pelbagai pandangan kita terima sama ada perlu dibentuk gabungan yang baru atau masih bersama dengan parti di dalam Kerajaan Perpaduan. Itu akan dibincangkan dan diperhalusi di peringkat biro politik dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
“Setiap kepimpinan UMNO di peringkat pusat mempunyai pandangan yang berbeza-beza dan Insya-Allah ia akan perhalusi dan buat satu keputusan dengan siapa yang harus kita bersama dalam PRU akan datang,” katanya.-UTUSAN










