Kembalikan sokongan Melayu

Kembalikan sokongan Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO perlu memulihkan keyakinan dan so­kongan orang Melayu sekali gus memperbaiki persepsi dan kre­di­biliti parti itu sebagai wadah perjuangan yang relevan, segar dan berwibawa.

Perkara itu merupakan antara tiga langkah pemugaran atau pembaharuan politik ditetapkan UMNO ba­gi memastikan parti itu kembali diterima rakyat khususnya dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti perlu menawarkan hala tuju baharu dan tidak boleh hanya bergantung kepada nostalgia serta slogan semata-mata untuk kekal relevan.

“Ini proses menyeluruh untuk mengembalikan keyakinan bagi memperbaiki persepsi, me­­mulihkan kredibiliti dan me­nampilkan UMNO sebagai wadah perjuangan Melayu yang relevan, segar dan berwibawa.

“UMNO akan menganjurkan Musyawarah Nasional bagi membincangkan agenda politik Melayu dengan merangkul semua pertubuhan, pakar-pakar, ahli akademik dan profesional Melayu,” katanya dalam Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini semalam.

Kata Ahmad Zahid, langkah kedua adalah UMNO mesti bersedia menjadi parti yang sentiasa terbuka terhadap penyertaan dan idea baharu walaupun datang daripada luar kerangka parti.

Katanya, langkah ketiga pula UMNO kena melakukan penjenamaan semula dalam kerjasama politik setelah menyedari keadaan sudah berubah dan tuntutan generasi juga semakin rencam.

“Ini menuntut kita untuk menilai semula bentuk-bentuk kerjasama politik yang sesuai dengan situasi politik semasa. Ia termasuk untuk mengkaji semula bentuk gabungan politik Barisan Nasional (BN).

“BN telah berusia lebih 50 tahun dan perlu diberikan nafas baharu agar dilihat sesuai dengan tuntutan zaman. Rakan-rakan politik yang setia selama ini perlu dirangkul bagi menambah kekuatan dan sokongan,” katanya.

Beliau berkata, UMNO juga mencadangkan satu proses pen­je­namaan semula yang menyeluruh bagi menghadapi PRU16.

Sehubungan itu, katanya, UMNO perlu bersedia untuk berdepan dengan kepelikan politik atau norma di luar kebiasaan.

Beliau memberi contoh kerjasama politik antara blok parti berlainan haluan sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan boleh berlaku terutamanya dengan pengalaman dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

“Kita membuat keputusan menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetapi rakan kita boleh pula sepentas bersama mereka. Kesudahannya, apabila kerajaan mahu dibentuk, semua pihak duduk semeja atas nama kestabilan politik. Tak ke pelik politik hari ini?

“Andai nanti wujud kerjasama politik antara parti berlainan haluan di peringkat negeri dan Persekutuan. Mungkin nanti, kerjasama di peringkat Persekutuan tidak dicerminkan dalam kerjasama politik di negeri, kerana kini politik penuh dengan kepelikan. Itulah hakikat politik yang perlu kita hadapi hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid membuka untuk menerima mana-mana pihak bagi menyambut kembali termasuk mereka pernah meninggalkan UMNO.

Beliau berkata, UMNO menu­buhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak baik secara individu atau secara en blok.

“UMNO adalah rumah buat semua bertaut kembali. Saat ada yang hilang arah, saat ada yang semakin rebah, kembalilah, kembalilah. Bak kata pepatah, sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan.

“Untuk itu, pintu Rumah Bangsa ini sentiasa terbuka luas. Di sini kita dilahirkan, di sini kita dibesarkan. Di sini jugalah kita mengadun erti perjuangan,” ujarnya.

Ahmad Zahid turut mengajak MCA dan MIC kembali merapat­kan saf di bawah payung besar BN.

Katanya, perbezaan panda­ngan dan rasa kecewa adalah lumrah dalam perjuangan politik, namun tidak seharusnya berpanjangan sehingga melemahkan kekuatan parti.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, BN menyertai Kerajaan Perpaduan sejak tiga tahun lalu bukan untuk menyelamatkan dirinya seperti didakwa pihak tertentu.

“Itu tuduhan, Zahid sudah selamat pun,” katanya yang turut memberitahu sokongan UMNO kepada Datuk Seri Najib tidak pernah berubah.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN