PASIR SALAK: Keadaan jalan yang rosak teruk di Kampung Batu Hitam di sini menimbulkan rungutan penduduk kerana jalan itu menjejaskan perhubungan serta keselamatan mereka.
Ini kerana, jalan berkenaan merupakan satu-satunya akses utama yang menghubungkan kampung tersebut dengan pekan kecil Kampung Gajah selain menjadi laluan pintas ke beberapa kawasan sekitar termasuk Bota, Lambor dan Pasir Salak.
Tinjauan mendapati sebahagian besar laluan itu dipenuhi lubang serta berlumpur malah keadaannya bertambah buruk akibat cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini.
Kerosakan berkenaan bukan sahaja menyukarkan pergerakan harian penduduk serta menjejaskan pelaksanaan aktiviti merentas desa membabitkan pelajar sekolah yang melalui jalan itu baru-baru ini.
Penduduk, Hayati Alias, 49, berkata, keadaan jalan yang teruk itu perlu dibaiki segera bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna.
Menurutnya, pernah berlaku kejadian sebuah kenderaan terbabas ke dalam parit apabila pemandu cuba mengelak lubang di laluan berkenaan.
“Keadaan jalan ini sudah lama rosak dan semakin teruk. Baru-baru ini, murid sekolah terpaksa melalui jalan ini untuk aktiviti merentas desa dan mereka menghadapi kesukaran,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Ibrahim Mat Nyan, 53, berkata, masalah jalan rosak itu bukan perkara baharu dan wajar diberi perhatian segera oleh pihak berkenaan.-UTUSAN.










