PORT DICKSON: Jaguh lempar cakera wanita negara, Queenie Kung Ni Ting, 28, dinaikkan ke pangkat koperal susulan pencapaiannya meraih pingat perak pada Sukan SEA Thailand 2025 baru-baru ini.
Beliau yang juga anggota Pasukan Simpanan (Wataniah) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata, pengiktirafan itu menjadi suntikan semangat buatnya untuk terus berusaha meningkatkan prestasi dalam bidang sukan.
Katanya, walaupun gagal memecahkan rekod kebangsaan pada temasya sukan dwitahunan itu, pencapaian melontar sejauh 51.81 meter tetap membanggakan kerana hampir menyamai rekod kebangsaan 52.77 meter yang juga miliknya.
“Memang sasaran saya pada Sukan SEA kali ini adalah untuk memecahkan rekod kebangsaan, namun ia sangat hampir. Walaupun begitu, saya tetap bersyukur kerana berjaya menyumbang pingat kepada negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 204/25 dan Wanita Siri 50/25 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini semalam.
Pada majlis itu, beliau turut menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Azhan Md Othman.
Queenie Kung berkata, sokongan dan kepercayaan daripada pihak ATM banyak membantunya mengekalkan keseimbangan antara latihan ketenteraan dan latihan sukan.
“Semua ini memerlukan perbincangan dan perancangan rapi terutama daripada segi jadual. Saya perlu bijak membahagikan masa antara latihan sukan, tugasan tentera dan rehat,,” katanya.
Tambahnya, latihan dalam ATM bukan sahaja meningkatkan tahap disiplin malah membantu menguatkan ketahanan mental, sekali gus memberi kelebihan ketika menghadapi tekanan dalam pertandingan bertaraf antarabangsa.
Dalam pada itu, Queenie berkata sasaran terbesarnya adalah untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.-UTUSAN.










