BAITULMUQADDIS: Israel meluluskan penaiktarafan perkhidmatan mudah alih generasi keempat (4G) untuk rakyat Palestin di Tebing Barat, menurut Kementerian Komunikasi Israel semalam.
Kementerian mendakwa, dua pengendali mudah alih Palestin, Jawwal dan Ooredoo, bersama syarikat infrastruktur Sweden, Ericsson, menandantangani perjanjian pengurusan yang diluluskan Israel pada 4 Januari.
Penyedia perkhidmatan mudah alih Palestin mula menawarkan perkhidmatan data berkelajuan tinggi berasaskan 3G di Tebing Barat yang diduduki sejak 2018, sekaligus mengecilkan jurang teknologi dengan Israel selepas larangan panjang rejim terhadap operasi rangkaian 3G tempatan.
Kementerian itu berkata, kelulusan berkenaan adalah sebahagian daripada perjanjian rangka kerja 2022 antara Israel dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang bertujuan membolehkan teknologi mudah alih 4G dan 5G.
Menurut media Israel, perjanjian itu tertangguh akibat perang Gaza, dan proses peningkatan ke 4G dijangka mengambil masa sehingga enam bulan.
Penyedia perkhidmatan Palestin bersaing dengan syarikat mudah alih Israel, yang menggunakan frekuensi mudah alih 5G yang jauh lebih pantas.
Israel kini dalam proses menutup teknologi 2G dan 3G yang lama, dan menasihatkan orang ramai supaya menggunakan peranti yang menyokong 4G dan 5G.
Di Gaza pula, hanya rangkaian 2G tersedia.- AGENSI











