BAITULMUQADDIS: Israel akan membuka semula lintasan Rafah di Gaza dengan Mesir untuk pergerakan orang ramai hanya selepas operasi mencari mayat tebusan Israel yang masih tinggal di wilayah itu selesai, menurut Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.
Sempadan itu sepatutnya dibuka dalam fasa awal rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk menamatkan perang, di bawah gencatan senjata yang dicapai pada Oktober antara Israel dan Hamas.
Namun, Israel menetapkan syarat pembukaan semula hanya boleh dilakukan selepas semua tebusan yang masih hidup yang ditahan oleh kumpulan militan Palestin di Gaza dibebaskan, serta usaha 100 peratus Hamas untuk mencari dan memulangkan mayat semua tebusan yang meninggal dunia.
Semua telah dipulangkan kecuali mayat pegawai polis Ran Gvili.
Tentera Israel pada Ahad mendakwa, mereka melancarkan ‘operasi bersasar’ di utara Gaza untuk mendapatkan kembali mayat itu, manakala seorang pegawai tentera Israel berkata terdapat beberapa petunjuk risikan mengenai lokasi kemungkinan lokasinya.
“Tentera Israel kini sedang menjalankan operasi bersasar untuk meneliti semua maklumat risikan yang dikumpulkan dalam usaha mencari dan memulangkan tebusan yang gugur, Sarjan Mejar Ran Gvili,” kata pejabat Netanyahu dalam satu kenyataan semalam.
Kenyataan itu menambah apabila operasi tersebut selesai, Israel akan membuka lintasan Rafah.
Pada 22 Januari, ketua jawatankuasa peralihan Palestin yang disokong AS untuk mentadbir Gaza secara sementara, Ali Shaath berkata, lintasan Rafah akan dibuka minggu ini.
Lintasan itu merupakan satu-satunya laluan masuk atau keluar dari Gaza bagi hampir semua daripada lebih 2 juta penduduk yang tinggal di wilayah tersebut.
Bahagian Gaza di lintasan itu berada di bawah kawalan tentera Israel sejak 2024.
“Sebagai sebahagian daripada pelan 20 perkara Presiden Trump, Israel bersetuju untuk pembukaan semula terhad lintasan Rafah bagi pergerakan pejalan kaki sahaja, tertakluk kepada mekanisme pemeriksaan penuh oleh Israel,” kata pejabat Netanyahu.
Washington mengumumkan pada Januari pelan itu telah memasuki fasa kedua, di mana Israel dijangka menarik balik tenteranya lebih jauh dari Gaza dan Hamas pula sepatutnya menyerahkan kawalan pentadbiran wilayah tersebut.
Minggu lalu, tiga sumber memberitahu Reuters bahawa Israel mahu mengehadkan jumlah rakyat Palestin yang memasuki Gaza melalui lintasan sempadan dengan Mesir bagi memastikan lebih ramai yang dibenarkan keluar berbanding masuk.










