Dua tahun berbaju lusuh ke sekolah

Ibu sebak terima bantuan persekolahan tiga anak

REHA Ghazali (dua dari kiri) bersama anaknya (dua dari kanan) menerima bantuan Kembali ke Sekolah daripada Ainol Shaharina Sahar (tengah) di Bukit Gading Tanah Merah, Kelantan. – UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Air mata seorang ibu tumpah menyaksikan keterujaan tiga anaknya mengenakan pakaian sekolah baharu selepas hampir dua tahun ke sekolah dengan seragam lusuh dan kasut koyak akibat kesempitan hidup.

Bagi Reha Ghazali, 35, kegembiraan anak-anaknya menerima bantuan persekolahan bukan sekadar soal pakaian baharu, sebaliknya lambang kelegaan selepas bertahun-tahun bergelut menyediakan keperluan asas keluarga.

Pendapatan suaminya, Muhamad Hazlin Rosli, 37, tukang mesin rumput dengan upah RM45 sehari, menjadikan perbelanjaan hampir RM1,000 untuk menyediakan kelengkapan sekolah lima anak sesuatu yang sukar.

“Anak-anak tidak pernah merungut walaupun baju sekolah dipakai sudah dua tahun dan ada yang koyak. Masa sekolah dibuka, mereka cuma minta buku dan alat tulis,” katanya ditemui pada Program Bantuan Pasca Bencana (Monsun Timur Laut 2025/2026) Kembali Ke Sekolah di sini, semalam.

Menerusi program itu, tiga anaknya termasuk sepasang kembar berusia 10 tahun dan seorang remaja berusia 15 tahun dipilih menerima sumbangan beg, alat tulis dan pakaian sekolah hasil inisiatif Yayasan Telekom Malaysia (TM). .

Pengarah Yayasan TM, Ainol Shaharina Sahar berkata, program Kembali Ke Sekolah adalah hasil kerjasama Yayasan TM dan I-Reach Malaysia bagi membantu golongan asnaf serta keluarga terjejas akibat banjir di beberapa negeri.

Lebih 3,000 penerima di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis menerima bantuan persekolahan dan keperluan asas dengan peruntukan keseluruhan RM500,000 menekankan pelajar yang terjejas akibat banjir dan kekangan kewangan keluarga.

“Di Kelantan, seramai 302 penerima dikenal pasti dengan agihan bantuan dilaksanakan di Rantau Panjang dan Tanah Merah,” katanya.

Program ini dapat membantu meringankan beban ketika sesi persekolahan dibuka, membolehkan anak-anak memulakan pembelajaran dengan lengkap dan memupuk semangat untuk hadir ke sekolah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN