IKMa pacu transformasi pendidikan koperasi negara

IKMa pacu transformasi pendidikan koperasi negara

MOHD. ALI MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institut Koperasi Malaysia (IKMa) memperkukuh hala tujunya dengan memfokuskan kepada pembangunan ilmu dan kepakaran koperasi bagi meningkatkan keupayaan sektor itu yang kini turut menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd. Ali Mansor berkata, hala tuju berkenaan digerakkan seiring peranan institusi itu sebagai peneraju pembangunan pendidikan koperasi negara khususnya melalui latihan, penyelidikan dan pemerkasaan modal insan.

Katanya, pendekatan tersebut selari dengan dasar kerajaan termasuk Transformasi Koperasi Nasional (TRANSKOM) dan Dasar Keusahawanan Negara yang menekankan peningkatan keupayaan serta daya saing koperasi secara berperingkat.

“Sejak penubuhannya, IKMa telah diberikan amanah oleh sektor koperasi sebagai peneraju latihan dan pendidikan koperasi, selain menjalankan penyelidikan serta berperanan sebagai badan penasihat kepada menteri berkaitan program pendidikan koperasi.

“Walaupun sektor koperasi ketika ini menyumbang sekitar dua hingga tiga peratus kepada ekonomi negara, pencapaian yang direkodkan adalah lebih pantas berbanding sasaran yang digariskan di bawah TRANSKOM.

“Kesemua inisiatif ini dilaksanakan dengan matlamat utama untuk memperkasa modal insan dalam sektor koperasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Ali berkata, IKMa melaksanakan program latihan kepada kira-kira 40,000 peserta setiap tahun, namun penekanan kini bukan sekadar kepada jumlah penyertaan semata-mata.

Katanya, keberkesanan latihan menjadi fokus utama bagi memastikan ilmu dan kemahiran yang disampaikan benar-benar membantu koperasi meningkatkan prestasi serta sumbangan kepada ekonomi negara.

“Kalau latihan ini masih tidak memberi kesan dan sumbangan koperasi kekal sekitar dua atau tiga peratus kepada KDNK negara, maka kita perlu melihat semula sama ada latihan itu benar-benar berkesan atau sebaliknya,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, IKMa telah melalui fasa transformasi penting apabila skop pendidikan formalnya diperluaskan dengan penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) bermula 2022.

Katanya, penubuhan universiti itu melengkapkan sistem pendidikan koperasi yang sebelum ini ditawarkan sehingga peringkat diploma sekali gus menyediakan laluan akademik berstruktur daripada peringkat sijil hingga Doktor Falsafah (PhD).

“Kami bakal memperkenalkan program Chartered in Cooperative Management dan Chartered in Cooperative Auditors sebagai persediaan ke arah pengurusan koperasi yang lebih profesional.

“Program ini akan membuka laluan kepada penubuhan sebuah institut koperasi profesional serta memperkukuh tadbir urus koperasi selaras dengan pelaksanaan Akta Koperasi baharu,” katanya.

Mengenai sambutan Jubli Platinum 70 Tahun IKMa, beliau berkata, ulang tahun berkenaan bukan sekadar simbolik, sebaliknya menjadi titik penilaian terhadap peranan institusi itu dalam melonjakkan impak ekonomi gerakan koperasi.

“Sambutan 70 tahun ini dilaksanakan secara berhemah dengan memanfaatkan program dan bajet sedia ada, selain dijadikan platform untuk menzahirkan sejarah, pencapaian serta hala tuju IKMa kepada masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN