HONG KONG: Agensi antirasuah Hong Kong menahan 21 individu atas dakwaan rasuah berkaitan kerja-kerja pengubahsuaian di dua kawasan kediaman.
Hong Kong meningkatkan operasi membanteras rasuah dalam sektor pengubahsuaian bangunan susulan kebakaran pada akhir November yang memusnahkan tujuh menara tinggi dan mengorbankan lebih 160 nyawa.
Pemimpin bandar itu, John Lee, menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas pada Disember untuk menyiasat kebakaran dan industri pembinaan, serta menentukan sama ada terdapat sebarang penipuan bidaan dalam pemberian kontrak.
Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong dalam kenyataan berkata, operasi penguatkuasaan dijalankan minggu lalu terhadap sindiket rasuah berkaitan triad yang terlibat dalam kerja pengubahsuaian bangunan.
Seramai 21 individu yang ditahan termasuk orang tengah, perunding projek, kontraktor serta ahli perbadanan bagi kedua-dua taman perumahan, menurut ICAC.
Di satu kawasan kediaman itu, kontraktor terbabit disyaki memberi rasuah kepada perunding projek dan beberapa ahli perbadanan untuk memperoleh kontrak projek bernilai HK$33 juta (RM17 juta).
Di kawasan kediaman yang satu lagi, orang tengah didakwa mengumpul instrumen proksi atau tiket kebenaran daripada pemilik rumah ‘dengan cara rasuah’ dalam usaha memanipulasi undi dan memperoleh kontrak pengubahsuaian masa depan, menurut kenyataan ICAC yang tidak mengulas lanjut.
“Penyelenggaraan bangunan berkait rapat dengan kepentingan orang awam dan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan. ICAC sentiasa memberi perhatian serius terhadap rasuah dalam penyelenggaraan bangunan,” menurut kenyataan itu.
Dua kawasan kediaman yang disasarkan dalam operasi minggu lalu terletak di daerah Kwun Tong di timur Kowloon dan tidak berkaitan dengan Wang Fuk Court, lokasi kebakaran yang berlaku pada 26 November.
ICAC turut menahan sekurang-kurangnya 11 individu dalam siasatan rasuah berkaitan kerja-kerja pengubahsuaian di Wang Fuk Court.
Penduduk meluahkan kemarahan terhadap kebakaran dahsyat itu, yang mengambil masa hampir dua hari untuk dipadamkan.
Pihak berkuasa berkata, bahan binaan berkualiti rendah yang digunakan dalam pengubahsuaian blok tinggi tersebut menyumbang kepada merebaknya kebakaran.- AGENSI










