KANGAR: Penjawat awam di negeri ini diingatkan agar dapat menghentikan serta-merta amalan keluar minum pada waktu bekerja.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, setiap penjawat awam wajib memelihara disiplin, imej dan profesionalisme dalam memastikan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan sentiasa terpelihara.
Beliau berkata, perkara itu amat penting berikutan persepsi rakyat sangat bergantung kepada sikap dan tingkah laku penjawat awam.
“Apabila masyarakat melihat penjawat awam berada di luar premis pejabat pada waktu bekerja tanpa urusan rasmi, ia boleh menimbulkan tanggapan bahawa perkhidmatan kerajaan tidak bersedia atau tidak mengutamakan keperluan rakyat.
“Lebih membimbangkan, sekiranya berlaku sebarang kelewatan atau masalah dalam penyampaian perkhidmatan, perkara tersebut akan terus dikaitkan dengan apa yang mereka lihat iaitu penjawat awam akan disangka menyalahgunakan waktu pejabat untuk urusan peribadi termasuklah minum pagi atau petang,”katanya pada majlis amanat Menteri Besar Perlis bersama penjawat awam 2026 di sini, hari ini.
Abu Bakar berkata, kerajaan negeri juga akan mengkaji dan meneliti semula proses bagi mempercepatkan sebarang permohonan pelaburan yang dibawa ke Perlis sebagai usaha melancarkan pentadbiran di samping menarik kehadiran lebih ramai pelabur.
Katanya, kerajaan negeri juga akan memberi maklum balas dengan kadar segera sekiranya terdapat syarikat yang didapati tidak layak dalam sebarang permohonan pelaburan di Perlis.
“Kelaziman, proses itu akan makan masa dua ke tiga bulan, jadi kita akan susun semula dan saya akan bincang dengan Setiausaha kerajaan negeri agar proses itu dapat dipercepatkan,” katanya.
Ujar beliau, kerajaan negeri sememangnya memandang serius aduan serta maklum balas berkaitan sikap segelintir penjawat awam yang mempersulitkan urusan pelabur dan peniaga.
“Ini termasuk sama ada melalui proses kelulusan yang tidak munasabah, kelewatan yang tidak beralasan atau pendekatan penguatkuasaan keterlaluan dan tidak seimbang,” katanya.-UTUSAN










