Hamas sedia serah pentadbiran Gaza, desak pintu Rafah dibuka segera

Hamas sedia serah pentadbiran Gaza, desak pintu Rafah dibuka segera

ANGGOTA pejuang Hamas mengawal kawasan ketika pekerja Mesir bersama ahli Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) mencari mayat tebusan terakhir di kawasan kejiranan Zeitoun, di Gaza City.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Hamas bersedia untuk menyerahkan pentadbiran Gaza kepada jawatankuasa teknokrat Palestin, namun dalam masa sama mendesak agar pintu sempadan Rafah dibuka semula sepenuhnya dalam masa terdekat.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem memberitahu AFP segala protokol, fail dan jawatankuasa berkaitan siap sedia untuk memulakan proses penyerahan kuasa di semua sektor kepada jawatankuasa teknokrat berkenaan.

Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG) yang dianggotai 15 ahli merupakan sebuah pasukan teknokrat Palestin yang ditubuhkan di bawah perjanjian gencatan senjata tajaan Amerika Syarikat (AS) yang berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025.

Pasukan itu ditugaskan untuk menguruskan tadbir urus harian Gaza pasca-perang dan akan beroperasi di bawah seliaan Lembaga Keamanan yang dipengerusikan oleh Presiden AS, Donald Trump.

NCAG yang diketuai oleh bekas Timbalan Menteri Pihak Berkuasa Palestin, Ali Shaath, dijangka memasuki Gaza sebaik sahaja pintu sempadan Rafah dibuka semula.

Qassem menegaskan bahawa pintu sempadan Rafah mesti dibuka dari kedua-dua arah dengan kebebasan penuh untuk keluar dan masuk tanpa sebarang halangan daripada pihak Israel.

Rafah merupakan satu-satunya pintu keluar utama Gaza ke dunia luar yang tidak berhubung terus dengan Israel, menjadikannya laluan kritikal bagi pergerakan penduduk dan barangan. Pintu tersebut telah ditutup sejak tentera Israel mengambil alih kawalannya pada Mei 2024.

Minggu lalu, Ketua NCAG, Ali Shaath mengumumkan bahawa Rafah akan dibuka semula secara dua hala pada minggu hadapan. Mengulas perkara itu, Qassem menyifatkan pengumuman tersebut sebagai penting, namun menegaskan proses keluar masuk mestilah mengikut perjanjian dan bukannya berdasarkan syarat yang ditetapkan Israel.

Israel sebelum ini menyatakan hanya akan membenarkan pejalan kaki melalui sempadan itu sebagai sebahagian daripada pembukaan terhad sebaik sahaja mayat tebusan terakhir, Ran Gvili, dikembalikan. Tentera Israel telah membawa pulang mendiang Gvili pada Isnin dan upacara pengebumiannya telah diadakan di Meitar pada Rabu.

Qassem menambah bahawa Hamas kekal komited terhadap perjanjian untuk menghentikan perang di Gaza yang bermula selepas serangan kumpulan pejuang itu ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023.

Beliau turut menyatakan Hamas telah memenuhi semua syarat fasa pertama dan kini bersedia untuk memasuki fasa kedua perjanjian berkenaan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN