KOTA BHARU: Kerajaan digesa menggunakan Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi membanteras penipuan pakej umrah dan ziarah yang masih sukar dikawal.
Penipuan pakej terbabit menyebabkan ramai individu menjadi mangsa dengan kes terbaharu membabitkan 36 jemaah umrah Malaysia terkandas di Arab Saudi.
Penasihat Undang-undang Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Nik Saiful Adli Burhan berkata, kes terbaharu itu jelas memperlihat elemen penipuan jenayah.
Bagaimanapun katanya, perlakuan itu masih berisiko ‘dikaburkan’ sebagai hanya pertikaian sivil .
Katanya, kegagalan mengklasifikasikan kes sedemikian sebagai jenayah menyebabkan agensi pelancongan tidak bertanggungjawab terus berani mengutip wang pelanggan walaupun mengetahui mereka tidak mempunyai keupayaan kewangan atau logistik untuk menunaikan janji.
“Seksyen 420 Kanun Keseksaan wujud untuk menangani perbuatan menipu bagi mendapatkan harta.
“Jika wang dikutip dengan janji yang diketahui mustahil ditunaikan, itu bukan isu kontrak tetapi jenayah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Nik Saiful berkata, kecenderungan meletakkan kes penipuan agensi pelancongan di bawah kategori sivil menjadikan undang-undang jenayah seolah-olah lumpuh, sekali gus memberi perlindungan tidak wajar kepada pelaku jenayah berselindung di sebalik entiti korporat.
Katanya, peringkat saringan awal oleh Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sangat kritikal bagi memastikan elemen niat menipu disiasat sejak awal dan tidak ditutup melalui laluan mudah.
“Apabila laporan polis dibuat, siasatan jenayah sepatutnya digerakkan terlebih dahulu. Bukannya terus menghalakan mangsa ke mahkamah sivil yang memakan masa dan kos tinggi,” katanya.
Nik Saiful berkata, alasan bahawa suspek adalah sebuah syarikat tidak boleh dijadikan penghalang kepada tindakan jenayah kerana undang-undang jelas membenarkan individu yang mengawal dan mengurus syarikat dipertanggungjawabkan.
“Syarikat tidak mempunyai niat. Yang berniat menipu ialah manusia di belakangnya. Mereka inilah yang patut disiasat, didakwa dan dihukum,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Turkiye melibatkan kerugian hampir RM40,000, namun kes tersebut berakhir tanpa sebarang pendakwaan jenayah walaupun laporan polis dibuat.
Katanya, selagi Seksyen 420 Kanun Keseksaan gagal digunakan secara konsisten terhadap penipuan agensi pelancongan, selagi itulah rakyat terus menjadi mangsa dan keyakinan terhadap sistem keadilan negara terhakis.
“Undang-undang sudah ada. Yang gagal adalah keberanian untuk menggunakannya,” katanya. – UTUSAN










