ARAU: Sindiket geng Rahim Burma yang aktif dalam kegiatan pecah rumah di sekitar negeri ini dalam tempoh sejak setahun lalu ditahan polis.
Bertindak atas maklumat Op Pintu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau bersama Cawangan D4 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis telah melakukan serbuan pada 16 Januari lalu dan menahan lima lelaki bersama seorang wanita warga Myanmar serta seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, susulan penahanan itu, tangkapan susulan turut dilaksanakan membabitkan seorang lelaki tempatan dan seorang perempuan warga Myanmar.
“Tangkapan ini dipercayai mempunyai kaitan dengan pemilikan kenderaan yang digunakan bagi melakukan kegiatan pecah rumah tersebut Kemudian pada 24 Januari, tangkapan sekali lagi dilaksanakan melibatkan dua lelaki warga Myanmar di mana kedua mereka juga dipercayai turut mempunyai kaitan dengan pemilikan kenderaan tersebut
“Secara keseluruhan, polis menahan 11 suspek melibatkan tujuh lelaki bersama dua wanita warga Myanmar,seorang wanita warga Indonesia serta seorang lelaki warga tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Arau, di sini, hari ini.
Ahmad Mohsin berkata, menerusi penahanan itu, pihaknya turut merampas barangan antaranya seperti beberapa ikat mata wang asing dan tempatan, kereta, rantai leher, rantai kaki, rantai tangan, cincin, anting-anting dan pelbagai lagi bernilai hampir RM100,000.
Ujar beliau, menerusi semakan, terdapat tiga laporan polis berkaitan kes pecah rumah di sekitar kawasan Arau dan Mata Ayer yang disyaki melibatkan suspek ditahan itu.
“Dalang utama kes ini adalah salah seorang suspek lelaki yang ditahan itu dan merupakan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta bekerja sebagai tukang rumah di negeri ini,” katanya.
Ahmad Mohsin berkata, modus operandi digunakan suspek adalah dengan melakukan tinjauan rumah-rumah kosong sekitar negeri ini sebelum memecah masuk ke kediaman terbabit.
“Mereka akan datang lihat dan tinjau situasi keadaan rumah-rumah kosong selama beberapa hari dan bila yakin, barulah mereka akan pecah masuk pada sebelah malam,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah dengan niat melakukan mencuri dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda.
“Menerusi penahanan ini, polis berjaya menyelesaikan 15 kes pecah rumah membabitkan 10 di Arau, empat di Kangar dan satu di Padang Besar,” katanya.-UTUSAN










