ZAMBOANGA: Sebuah feri yang membawa lebih 350 penumpang dilaporkan karam di kawasan perairan selatan Filipina awal pagi Isnin.
Setakat ini, pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya 316 penumpang manakala 15 mayat ditemukan, menurut kenyataan rasmi pihak berkuasa.
Feri kargo dan penumpang antara pulau, M/V Trisha Kerstin 3 sedang dalam pelayaran dari bandar pelabuhan Zamboanga menuju ke Pulau Jolo di wilayah Sulu.
Kapal itu membawa 332 penumpang dan 27 anak kapal sebelum dipercayai mengalami masalah teknikal dan karam selepas tengah malam.
Komander Pengawal Pantai, Romel Dua, memaklumkan kepada The Associated Press bahawa feri tersebut karam dalam keadaan cuaca baik, kira-kira satu batu nautika (hampir dua kilometer) dari perkampungan pulau Baluk-baluk di wilayah Basilan.
“Terdapat seorang pegawai keselamatan pengawal pantai di atas feri tersebut dan beliau adalah orang pertama yang membuat panggilan kecemasan bagi membolehkan kami mengerahkan kapal penyelamat,” kata Dua, sambil mengesahkan pegawai berkenaan terselamat.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini sedang giat dijalankan di perairan Basilan melibatkan kapal pengawal pantai dan tentera laut, pesawat pemantau, helikopter Black Hawk Tentera Udara dan armada bot nelayan tempatan.
Gabenor wilayah Basilan, Mujiv Hataman mengesahkan mangsa yang terselamat serta dua jenazah telah dibawa ke jeti Isabela, ibu negeri wilayah tersebut.
“Saya sedang menyambut ketibaan 37 orang di jeti ini, namun malangnya dua daripada mereka telah meninggal dunia,” kata Hataman ketika ditemui di jeti Isabela.
Punca sebenar kejadian masih belum dipastikan dan siasatan lanjut akan dijalankan.
Bagaimanapun, pihak pengawal pantai mengesahkan bahawa feri tersebut telah mendapat pelepasan keselamatan sebelum meninggalkan pelabuhan Zamboanga dan tiada sebarang tanda menunjukkan kapal itu membawa muatan berlebihan.- CNN










