PETALING JAYA: Perletakan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya berkuat kuasa selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) gabungan itu meluluskan perkara berkenaan.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, berkata, tiada alasan munasabah untuk tidak menjemput Muhyiddin ke mesyuarat MT PN kerana beliau masih memegang jawatan pengerusi mengikut perlembagaan parti.
Beliau mempersoalkan dakwaan kononnya Muhyiddin tidak dijemput menghadiri mesyuarat MT PN yang dijadualkan minggu ini bagi melantik pengerusi baharu.
“Jika alasannya kerana Tan Sri Muhyiddin telah meletakkan jawatan, alasan ini tidak sah kerana perlembagaan PN jelas menyatakan bahawa perletakan jawatan belum berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini sebagai mengulas dakwaan sumber kononnya Muhyiddin tidak dijemput ke Majlis Tertinggi PN minggu depan bagi melantik pengerusi baharu.
Tun Faisal berkata, sekiranya terdapat tafsiran bahawa Muhyiddin wajar tidak dijemput disebabkan perletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi sebelum ini, ia merupakan salah, songang dan bertentangan.
“Sebagai Presiden Bersatu, walaupun tidak lagi menjadi Pengerusi PN, beliau secara konvensyen merupakan Timbalan Pengerusi PN dan secara beradabnya perlu dijemput menghadiri mesyuarat MT PN,” katanya.
Penghormatan terhadap peranan dan kedudukan Muhyiddin, penting bagi mengekalkan kesopanan dan tatacara dalam urusan pentadbiran gabungan itu. – UTUSAN










