MINNESOTA: Seorang hakim Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan perintah yang menyekat ejen persekutuan daripada mengganggu penunjuk perasaan aman di Minnesota, selepas Presiden Donald Trump menegaskan tiada keperluan untuk menggunakan Akta Pemberontakan terhadap demonstrasi itu.
Dalam perintah setebal 83 muka surat, Hakim Daerah AS, Katherine Menendez, mengarahkan ejen imigresen supaya mengehadkan taktik agresif mereka, termasuk melarang penahanan atau penangkapan penunjuk perasaan serta penggunaan penyembur lada terhadap kumpulan protes.
Perintah itu memberi masa 72 jam kepada operasi semasa Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) di bandar utara AS itu untuk mematuhi arahan, dan dikeluarkan susulan dua insiden di mana ejen persekutuan melepaskan tembakan, mengakibatkan seorang maut dan seorang lagi cedera dalam tempoh seminggu.
Dalam langkah undang-undang berasingan yang memburukkan lagi ketegangan antara Rumah Putih dan pegawai Minnesota, CBS News melaporkan Jabatan Kehakiman sedang menyiasat Gabenor Minnesota,Tim Walz, dan Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey, atas dakwaan menghalang pegawai persekutuan.
Kedua-duanya dilaporkan menyeru protes aman terhadap serbuan imigresen di negeri itu.
Di tengah pertikaian yang semakin meningkat antara Trump dan pemimpin Minnesota minggu ini, presiden mengancam langkah drastik untuk menggunakan Akta Pemberontakan, yang membolehkannya mengerahkan tentera untuk mengawasi protes tersebut.
Akta pemberontakan membenarkan seorang presiden untuk mengetepikan Akta Posse Comitatus untuk menumpaskan ‘pemberontakan bersenjata’ atau keganasan domestik, serta menggunakan tentera yang dianggap perlu bagi menguatkuasakan undang-undang abad ke-19 tersebut.
Penunjuk perasaan bertempur dengan pegawai imigresen di seluruh bandar Minneapolis, menentang usaha mereka untuk menyasarkan pendatang tanpa izin dengan beberapa pegawai bertindak balas dengan keganasan.
Demonstrasi meningkat secara mendadak selepas pembunuhan Renee Nicole Good, 37, oleh seorang pegawai Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) di Minneapolis pada 7 Januari lalu.- AFP










