TOKYO: Seekor cimpanzi ‘genius’ yang boleh mengenali lebih daripada 100 aksara Cina dan abjad Inggeris, dilaporkan mati pada usianya 49 tahun.
Ai, disahkan mati pada 9 Januari kerana faktor usia dan kegagalan organ, menurut Pusat Asal Usul Evolusi Tingkah Laku Manusia di Universiti Kyoto dalam satu kenyataan.
Ai mengambil bahagian dalam kajian mengenai persepsi, pembelajaran dan ingatan yang memperluas pemahaman mengenai kecerdasan primat.
Ahli primatologi, Tetsuro Matsuzawa pada 2014 berkata, selain menguasai aksara Cina dan abjad, Ai juga boleh mengenal pasti angka Arab dari sifar hingga sembilan dan 11 warna.
Ai dilahirkan di Afrika Barat dan tiba di institut Jepun itu pada 1977, dan menjadi inspirasi kepada Projek Ai, sebuah program penyelidikan mengenai minda cimpanzi.
Dalam satu kajian, Ai ditunjukkan skrin komputer yang memaparkan aksara Cina untuk warna merah jambu, bersama satu segi empat berwarna merah jambu dan satu lagi ungu.
Cimpanzi itu memilih segi empat merah jambu dengan betul, kata Matsuzawa.
Keupayaan luar biasanya menjadikan Ai subjek kepada beberapa kertas kerja ilmiah dan program media, termasuk kajian diterbitkan dalam jurnal Nature, sekali gus digelar ‘genius’ dalam media popular.
Pusat tersebut berkata, kajian melibatkan Ai membantu mewujudkan ‘rangka kerja eksperimen’ untuk memahami minda cimpanzi, sekali gus menyediakan asas penting bagi memperhalusi evolusi minda manusia.- AFP










