SEREMBAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta di Jalan Tunku Hassan di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira pukul 6.15 petang berhubung kejadian itu.
Katanya, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan dipercayai ditinggalkan oleh ibunya sejak pukul 8 pagi.
“Difahamkan, ibu mangsa yang berusia 35 tahun itu bekerja di sebuah bank terlupa untuk menghantar mangsa ke tempat pengasuh sebelum ke tempat kerja.
“Kejadian hanya disedari sekitar pukul 5 petang selepas wanita itu selesai waktu bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azahar berkata, mangsa disahkan meninggal dunia akibat strok haba kemungkinan akibat ditinggalkan dalam kereta selama sembilan jam itu.
Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Rembau bagi menjalani bedah siasat dan wanita berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan. Kes disiasat dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.-UTUSAN.










