WASHINGTON: Bank Dunia melaporkan satu perempat daripada negara-negara membangun kini semakin miskin berbanding sebelum pandemik Covid pada 2019.
Pertubuhan yang berpangkalan di Washington itu berkata, sebilangan besar negara berpendapatan rendah, terutama di Afrika Sub-Sahara, mengalami kejutan ekonomi negatif dalam tempoh enam tahun hingga akhir tahun lalu.
Bank itu menyenaraikan negara-negara seperti Botswana, Namibia, Republik Afrika Tengah, Chad dan Mozambique.
Afrika Selatan dan Nigeria, mempunyai populasi yang berkembang pesat, juga gagal meningkatkan purata pendapatan sepanjang tempoh tersebut, walaupun masing-masing meningkat sebanyak 1.2 peratus dan 4.4 peratus tahun lepas.
Bank itu berkata, pertumbuhan global ‘menurun’ sejak pandemik, dan kadar semasa tidak mencukupi untuk mengurangkan kemiskinan tegar serta mewujudkan pekerjaan di tempat yang paling diperlukan.
Pertumbuhan ekonomi di pasaran baharu muncul dan ekonomi membangun dianggarkan perlahan daripada 4.2 peratus tahun lepas kepada empat peratus tahun depan, menurut laporan itu.
Bank Dunia berkata, pertumbuhan ekonomi global menunjukkan daya tahan lebih baik daripada jangkaan, terutama selepas prestasi ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih baik daripada dijangka tahun lalu.
Bagaimanapun, kemajuan dijangka sederhana pada 2026 kerana ekonomi di negara maju dan membangun bergelut untuk mencapai pertumbuhan.
Menurut laporan, kebanyakan daripada satu perempat negara membangun yang mencatatkan pendapatan purata lebih rendah berbanding 2019 mengalami perang dan kebuluran, melambatkan pemulihan daripada pandemik.
Ketua Ekonomi Bank Dunia, Indermit Gill berkata, negara-negara membangun perlu mematuhi peraturan belanjawan yang ketat untuk mewujudkan asas pertumbuhan mampan.
“Untuk mengelakkan kebuntuan dan pengangguran, kerajaan di ekonomi membangun serta maju mesti agresif meliberalisasikan pelaburan dan perdagangan swasta, mengawal perbelanjaan awam serta melabur dalam teknologi baharu dan pendidikan,” katanya.- AGENSI










