DAMSYIK: Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, mengeluarkan dekri bertarikh 16 Januari yang menetapkan bahasa Kurdi sebagai ‘bahasa kebangsaan’, serta memberikan hak kebangsaan kepada komuniti minoriti, ketika tenteranya bertempur dengan pasukan itu di utara.
Dekri itu menetapkan bahasa Kurdi boleh diajar di sekolah awam di kawasan yang mempunyai ramai penduduk minoriti.
Ahmaed juga menjadikan tahun baharu Kurdi, Nowruz, yang jatuh pada 21 Mac sebagai cuti rasmi.
Dekri itu memberikan kewarganegaraan kepada rakyat Kurdi, kerana 20 peratus daripada mereka kehilangan status itu di bawah banci kontroversi 1962.
“Warga Kurdi Syria adalah sebahagian penting dan tidak terpisahkan daripada rakyat Syria, dan identiti budaya serta bahasa mereka adalah bahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada identiti kebangsaan Syria yang pelbagai dan bersatu,” kata dekri itu.
Komuniti minoriti Kurdi mengalami peminggiran dan penindasan selama beberapa dekad di bawah pemerintahan terdahulu di Syria.
Pasukan Kurdi mengambil alih kawasan utara dan timur laut Syria yang kaya dengan minyak semasa perang saudara negara itu dan perjuangan menentang kumpulan militan ISIS sepanjang dekad yang lalu.
Tentera Ahmed berkata semalam, ia sedang bertempur dengan pasukan Kurdi di utara selepas menyingkirkan mereka daripada bandar Aleppo minggu lalu.
Pertempuran itu berlaku ketika kemajuan untuk melaksanakan perjanjian pada Mac untuk membentuk pentadbiran autonomi de facto Kurdish di utara ke dalam negeri itu terhenti.- AFP










