AS tiada hak ambil alih Greenland

AS tiada hak ambil alih Greenland

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COPENHAGEN: Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, supaya menghentikan ancamannya untuk mengambil alih Greenland.

Beliau menegaskan, cadangan AS untuk mengambil alih Greenland langsung tidak masuk akal, malah Washington tiada hak untuk mengilhak mana-mana daripada tiga negara dalam kerajaan Denmark.

“Langsung tidak masuk akal untuk bercakap mengenai keperluan Amerika Syarikat mengambil alih Greenland,” katanya.

Frederiksen berkata demikian selepas isteri kepada pembantu Trump, Katie Miller, memuat naik ciapan memaparkan peta Greenland berwarna bendera AS bersama perkataan ‘SOON’.

Sebelum ini, pemimpin Republikan itu berulang kali membangkitkan kemungkinan Greenland menjadi wilayah yang diilhakkan oleh AS, dengan alasan lokasi strategiknya serta kekayaan sumber mineral.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman web kerajaan Denmark, Frederiksen berkata, beliau menyampaikan mesej itu kepada AS secara langsung.

Katanya, Denmark termasuk Greenland, adalah anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan dilindungi oleh jaminan keselamatan pakatan tersebut.

Beliau berkata, Denmark sudah pun mempunyai perjanjian pertahanan dengan AS yang memberikan Washington akses kepada Greenland, selain turut meningkatkan pelaburan keselamatan di rantau Artik.

“Saya dengan tegas menggesa Amerika supaya menghentikan ancaman terhadap sekutu rapat dari segi sejarah dan ke atas negara lain yang jelas menegaskan mereka bukan untuk dijual,” katanya.

Terdahulu, Duta Denmark ke AS memberi respons kepada hantaran Miller menerusi satu ‘peringatan mesra’ yang mengingatkan kedua-dua negara sebagai bersekutu, selain menegaskan negara itu mengharapkan penghormatan terhadap integriti wilayahnya.

Kontroversi itu tercetus selepas AS melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran terhadap Venezuela pada Sabtu, yang menyaksikan Presiden Nicolas Maduro dan isterinya ditangkap sebelum dibawa ke New York.- BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN