AS dikecam ‘hasut’ keganasan di Iran

AS dikecam ‘hasut’ keganasan di Iran

AMIR SAEID IRAVANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amir Saeid Iravani menghantar aduan rasmi kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC), mendakwa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump cuba menghasut keganasan, sengaja menggalakkan ketidakstabilan politik, serta mengancam kedaulatan dan keselamatan negara Iran.

Amir Saeid menggesa Setiausaha Agung PBB, Antonio Gutteres, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) serta semua negara anggota PBB supaya bertindak balas terhadap retorik Trump terhadap Iran.

Semalam, Trump menggesa rakyat Iran supaya terus mengadakan protes dan mendakwa bantuan sedang dalam perjalanan, tanpa memperincikan bentuk sokongan itu.

“Wahai patriot Iran, teruskan protes, ambil alih institusi anda! Bantuan sedang dalam perjalanan,” kata Trump dalam satu hantaran di Truth Social. 

Beliau berkata, semua pertemuan dengan pegawai Iran dibatalkan sehingga pembunuhan tidak masuk akal terhadap penunjuk perasaan dihentikan, malah menyatakan tindakan ketenteraan tambahan antara pilihan yang sedang dipertimbangkan bagi menghukum Iran berhubung tindakan keras terhadap protes tersebut.

Menurut Amir Saeid, Gutteres dan UNSC mempunyai tanggungjawab di bawah Piagam PBB untuk mengecam secara tegas semua bentuk hasutan kepada keganasan, ancaman penggunaan kekerasan serta campur tangan dalam hal ehwal dalaman Iran oleh AS.

Beliau turut meminta PBB supaya menggesa AS dan rejim Israel menghentikan serta-merta dasar dan amalan yang bersifat menggugat kestabilan serta mematuhi sepenuhnya kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa.

Beliau juga menyeru semua negara anggota supaya menahan diri daripada mengeluarkan kenyataan atau tindakan yang bersifat provokatif dan tidak bertanggungjawab yang boleh memburukkan lagi ketegangan dalaman di Iran.

Seorang pegawai Iran berkata, lebih 2,000 orang terkorban dalam protes berkenaan, kali pertama pihak berkuasa mendedahkan angka keseluruhan korban selepas lebih dua minggu ketegangan tercetus di seluruh negara.

Televisyen rasmi Iran mengakui laporan mengenai bilangan kematian tinggi akibat protes di seluruh negara dan memetik kenyataan Ketua Yayasan Syuhada, Ahmad Mousavi yang menyalahkan kumpulan bersenjata dan pengganas.

Beberapa negara Eropah memanggil duta Iran untuk membantah tindakan ganas terhadap demonstrasi, manakala sekutu Iran, Russia, mengecam apa campur tangan luaran yang subversif dalam politik dalaman Teheran.

Susulan hantaran Trump itu, ketua keselamatan Iran, Ali Larijani berkata, Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, adalah ‘pembunuh utama’ rakyat Iran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN