WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan ‘mentadbir’ Venezuela dan memanfaatkan rizab minyaknya yang besar selepas menangkap pemimpin berhaluan kiri negara itu, Nicolas Maduro, keluar dari negara dalam siri serangan pengeboman ke atas Caracas semalam.
Perkara itu diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, beberapa jam selepas serangan, di mana pasukan khas menahan Maduro dan isterinya, sementara serangan udara membedil beberapa lokasi, mengejutkan ibu negara berkenaan.
Trump tidak memperincikan maksud kenyataannya, namun memberitahu satu sidang media di Florida, AS akan mengendalikannya bersama satu kumpulan.
“Kami sedang melantik individu,” katanya, sambil menyebut pegawai Kabinet yang berdiri bersamanya akan bertanggungjawab.
Dalam satu lagi perkembangan mengejutkan, Trump memberi bayangan tentera AS mungkin akan dikerahkan ke Venezuela.
“AS tidak takut untuk menempatkan tentera di darat,” kata Trump.
Walaupun operasi itu digambarkan sebagai tindakan penguatkuasaan undang-undang, Trump menjelaskan perubahan rejim dan kekayaan minyak Venezuela merupakan matlamat utama.
“Kami akan membawa masuk syarikat-syarikat minyak AS yang sangat besar, yang terbesar di dunia, untuk melabur berbilion-bilion dolar dan membaiki infrastruktur yang rosak teruk.
“Kami akan menjual minyak dalam jumlah yang besar,” katanya lagi.
Pemimpin Republikan berusia 79 tahun itu memuat naik gambar Maduro dalam tahanan di atas sebuah kapal tentera laut AS, dengan mata ditutup, tangan bergari dan memakai seperti pelindung telinga penahan bunyi.
Beliau dan isterinya sedang dibawa ke New York untuk berdepan pertuduhan berkaitan dadah dan keganasan.- AFP










