MINNESOTA: Saintis kini membangunkan program kecerdasan buatan (AI) yang mampu menganalisis warna, tekstur dan bentuk lidah dengan tepat bagi mengesan tanda awal penyakit kronik seperti diabetis dan kanser perut.
Menurut laporan jurnal Chinese Medicine, kajian semula terhadap lebih 20 penyelidikan mendapati sistem AI sangat tepat dalam mengenal pasti tanda penyakit, yang mungkin digunakan di hospital tidak lama lagi untuk membantu doktor mendiagnosis pesakit.
Satu kajian diterbitkan dalam jurnal Technologies pada 2024 mendapati, program AI itu berjaya mendiagnosis dengan tepat 58 daripada 60 pesakit yang menghidap diabetes dan anemia hanya melalui penilaian imej lidah mereka.
Program itu mengenal pasti perubahan kecil pada lidah seseorang, setelah ‘dilatih’ menggunakan pangkalan data yang mengulangi ribuan foto lidah pesakit menghidap pelbagai penyakit.
Satu lagi kajian mendapati, AI mampu mengesan kanser perut berdasarkan perubahan halus pada warna dan tekstur lidah, seperti lapisan lebih tebal, kehilangan warna secara tompokan serta kemerahaan yang dikaitkan dengan keradangan dalam saluran pencernaan.
Apabila diuji ke atas pesakit baharu, sistem AI tersebut dapat membezakan pesakit kanser perut daripada individu sihat dengan tahap ketepatan setanding ujian diagnostik standard seperti gastroskopi atau imbasan CT, pada kadar sekitar 85 hingga 90 peratus.
“AI belajar dengan mengenal pasti corak statistik dalam koleksi imej lidah yang dipadankan dengan data klinikal atau kesihatan pesakit,” kata pakar bioinformatik dari Universiti Missouri, Prof. Dong Xu.
Menurut pakar di King College London, Saman Warnakulasuriya, idea lidah sebagai petunjuk penting tahap kesihatan individu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
“Lidah sering dirujuk sebagai cermin kepada keseluruhan kesihatan. Permukaan atas lidah boleh menandakan anemia kerana kekurangan zat besi, vitamin B12 atau folat (vitamin B9), menyebabkan kehilangan papila iaitu bonggol kecil pada lidah yang mengandungi tunas rasa.
“Nutrien ini penting untuk proses pembaharuan sel yang pantas pada permukaan lidah. Tanpanya, papila akan hilang, menjadikan lidah kelihatan licin dan berkilat,” katanya.
Sementara itu, lidah yang kering boleh menjadi simptom awal diabetis kerana penyakit tersebut menyebabkan dehidrasi serta kerosakan saraf yang mengurangkan pengeluaran air liur.- AGENSI










