Agihan projek tidak telus didakwa punca kelewatan

Agihan projek tidak telus didakwa punca kelewatan

PERSATUAN Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF) mahu agar projek kerajaan diagihkan secara adil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelewatan projek-projek fizikal buat rakyat yang dilaksanakan pelbagai kementerian didakwa berpunca akibat pengagihan projek tersebut secara tidak telus dan hanya diberikan kepada kontraktor tertentu ataupun ‘kroni’.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF), Tukiman Radion berkata, pihaknya sendiri tidak memperoleh projek dari kerajaan pada tahun lalu walaupun terdapat banyak projek yang disediakan.

Menurut beliau, kebanyakan projek kerajaan diagihkan secara ‘sorok-sorok’ dan diberikan kepada kontraktor tertentu sahaja.

“Sebagai contoh, di Kuala Lumpur dahulu dalam setahun ada dua ke tiga kali cabutan undi tetapi pada 2025, hanya sekali sahaja. Itu pun jumlah projek sangat sedikit, biasanya setahun mencecah 600 ke 700 projek tetapi tahun lepas hanya 60 projek sahaja yang dicabutkan undi.

“Di negeri-negeri lain juga ramai (kontraktor) yang mengeluh kerana ketiadaan projek dan kebanyakan projek yang ada diberikan kepada kroni-kroni tertentu sahaja. Ia dibahagikan secara ‘sorok-sorok,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan, sebanyak 14 kementerian dikenal pasti tidak berjaya mencapai sasaran da­lam pelaksanaan pembangunan projek fizikal yang diperuntukkan pada tahun lalu.

Status perbelanjaan pembangunan projek-projek di ba­wah kementerian-kementerian itu adalah mencatat 87.91 peratus iaitu berada di bawah purata nasional.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, ia melibatkan projek-projek asas kerajaan dan bersifat rakyat seperti pembinaan dan baik pulih infrastruktur jalan raya, sekolah, klinik dan hospital.

Mengulas lanjut, Tukiman berkata, kelewatan yang berlaku itu bukan berpunca daripada ketiadaan pekerja, sebaliknya jumlahnya mencukupi.

“Kita tidak mempunyai masalah daripada segi kekurangan tenaga kerja, kita mempunyai pekerja-pekerja yang sedang menunggu untuk diberi kerja.

“Ini adalah masalah agihan yang tidak telus dan memberikan ia secara terbuka atau melalui cabutan undi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN