4 pegawai polis antara 6 direman lindungi niaga haram

4 pegawai polis antara 6 direman lindungi niaga haram

EMPAT pegawai, seorang anggota dan seorang pesara polis (memakai baju lokap SPRM) dibawa ke Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang semalam, untuk perintah reman kes meminta dan menerima rasuah. – UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Enam lagi individu termasuk empat pegawai, seorang anggota dan seorang pesara polis direman lima hari selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperluas siasatan dakwaan skim rasuah melindungi kegiatan perniagaan haram di Pulau Pinang.

Perintah reman yang bermula semalam sehingga Ahad dikeluarkan oleh Majistret Syahirah Abdul Salim selepas permohonan dibuat oleh SPRM negeri di Mahkamah Majistret di sini, semalam bagi membolehkan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Menurut sumber, semua suspek berusia antara 40-an hingga 60-an, empat daripada mereka berpangkat Asisten Superintenden, seorang Sarjan dan seorang pesara polis yang juga berpangkat Sarjan.

Katanya, kesemua mereka disyaki meminta dan menerima rasuah keseluruhannya bernilai kira-kira RM150,000 antara tahun 2016 hingga 2021.

Ia sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap dua pemilik syarikat yang melakukan kesalahan undang-undang seperti pusat hiburan, pusat urut dan judi haram.

“Suspek-suspek ini ditahan dalam satu operasi susulan yang dijalankan antara pukul 11 pagi hingga 5 petang semalam selepas mereka hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang.

“Kesemua mereka disyaki meminta dan menerima rasuah dengan bayaran bulanan antara RM500 hingga RM2,000 sepanjang tempoh berkenaan (2016 sehingga 2021) dan wang rasuah terbabit disyaki dipindahkan melalui beberapa transaksi dalam talian ke akaun pihak ketiga, dipercayai bagi menyembunyikan aliran wang tersebut,” katanya di sini, semalam.

Dua daripada suspek berpangkat Asisten Superintenden masing-masing diwakili peguam, K. Mahendran dan A. Mahesh manakala baki empat lagi suspek diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Difahamkan, penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan suspek ditahan setakat ini tujuh orang. Ia termasuk seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden yang masih berkhidmat kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM27,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN