KOTA BHARU: Yayasan Islam Kelantan (YIK) mengesahkan Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki, masih berkhidmat dengan Pusat Pengajian Pondok sekali gus menafikan kontrak ulama terkemuka serambi Mekah itu tidak disambung sebagaimana tular hari ini.
Menurut kenyataan media yang dimuat naik menerusi entri laman sosial Facebook sebentar tadi memberitahu, segala pertukaran pegawai pentadbiran yang melibatkan beberapa sekolah di bawah YIK adalah urusan pentadbiran dalaman dan tidak melibatkan tokoh berkenaan.
“Sehubungan itu, orang ramai dimohon agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak tepat serta merujuk kepada kenyataan rasmi pihak berwajib bagi mendapatkan maklumat yang sahih,” katanya.
Utusan Online hari ini melaporkan, kontrak ulama terkenal dari Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah sebagai tenaga pengajar di Pusat Pengajian Pondok Moden, Kandis, Bachok tidak sambung adalah palsu.
Anak kepada ulama itu, Adnan Wazir berkata, perkara tersebut tidak benar.
“Berita Ayahanda Abuya Syeikh Wazir tidak di sambung kontrak di Pusat Pengajian Pondok adalah tidak benar,” tulisnya menerusi satu hantaran yang dibuat naik di laman sosial Facebook miliknya hari ini.
Terdahulu tular satu hantaran di laman sosial Facebook oleh Hasnul Zulkarnain yang memaklumkan Syeikh Wazir tidak disambung kontrak mengajar di Pondok Moden, Kandis.-UTUSAN










