WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengarahkan sekatan menyeluruh terhadap semua kapal tangki minyak yang disekat bagi menghalang pergerakan masuk dan keluar dari Venezuela.
Dalam satu hantaran di platform Truth Social, Trump menuduh Venezuela mencuri aset AS, termasuk minyak dan tanah, selain terlibat dalam ‘keganasan penyeludupan dadah serta pemerdagangan manusia’.
“Oleh itu, saya mengarahkan sekatan menyeluruh dan sepenuhnya terhadap semua kapal tangki minyak yang disekat memasuki serta meninggalkan Venezuela,” katanya.
Kenyataan itu dibuat seminggu selepas AS merampas sebuah kapal tangki minyak di perairan luar pantai Venezuela, tindakan yang menandakan peningkatan ketara kempen Washington terhadap kerajaan Presiden Nicolas Maduro.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pentadbiran AS mengerahkan ribuan anggota tentera dan antara 10 hingga 12 kapal perang termasuk sebuah kapal induk pesawat ke rantau berkenaan.
Niaga hadapan minyak mentah AS melonjak lebih satu peratus kepada AS$55.96 (kira-kira RM230) setong dalam dagangan Asia susulan pengumuman sekatan oleh Trump.
Harga minyak mentah sebelum itu ditutup pada AS$55.27 (kira-kira RM226) setong pada Selasa iaitu paras penutupan terendah sejak Februari 2021.
Tentera AS dilaporkan membunuh sekurang-kurangnya 90 orang sejak September dalam serangan ke atas puluhan kapal di timur Lautan Pasifik dan Laut Caribbean berhampiran Venezuela, tindakan yang dikritik pakar undang-undang antarabangsa sebagai pembunuhan di luar proses kehakiman.
Washington mendakwa kapal-kapal tersebut terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah, namun tidak mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong dakwaan itu.
Caracas sejak sekian lama menegaskan penempatan tentera AS di rantau itu bertujuan membolehkan ‘kuasa luar merampas kekayaan minyak dan gas Venezuela’.
Walaupun memegang rizab minyak terbukti terbesar di dunia, Venezuela berdepan sekatan ketat terhadap eksportnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini susulan sekatan AS yang mula dikenakan semasa penggal pertama pentadbiran Trump.
Meskipun AS sudah mengenakan sekatan ke atas sektor minyak Venezuela, tindakan merampas eksport negara itu berpotensi melumpuhkan lagi ekonomi negaranya yang sedia bergelut.- BBC/ AFP










