BANGKOK: Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, menggunakan gambar zaman kanak-kanaknya bersama kembar untuk mempromosikan kempen kesihatan baharu yang bertujuan menangani masalah obesiti kanak-kanak di negara.
Chadchart menghadiri pelancaran projek itu pada Khamis, yang diperkenalkan melalui kerjasama Pentadbiran Bandaraya Bangkok (BMA), Yayasan Promosi Kesihatan Thailand, Kedutaan Diraja Denmark di Thailand, Novo Nordisk Pharma, dan Nudge Thailand.
Inisiatif dinamakan ‘Jangan biar kanak-kanak menjadi obes’, adalah sebahagian daripada dasar Bangkok: Bandar untuk Kesihatan Lebih Baik.
Program itu bertujuan meningkatkan kesihatan bandar jangka panjang dengan menggalakkan persekitaran, gaya hidup, dan dasar awam yang lebih sihat untuk semua peringkat umur.
Sebagai sebahagian daripada projek tersebut, kurikulum kesihatan baharu akan dibangunkan dan diperkenalkan di sekolah seluruh Bangkok bagi meningkatkan kesedaran serta menyediakan pengetahuan mengenai obesiti kanak-kanak.
Guru dijangka memainkan peranan penting dalam program itu, di mana mereka digalakkan menjadi contoh teladan sambil turut menjaga kesihatan diri sendiri.
BMA akan mengumpul data sebelum dan selepas pelaksanaan kurikulum untuk menilai keberkesanannya.
“Obesiti kanak-kanak adalah isu utama pada masa kini. Kanak-kanak adalah orang dewasa masa depan. Di Bangkok, kira-kira 50 peratus dewasa mengalami obesiti, manakala kadar di kalangan kanak-kanak dijangka melebihi 20 peratus.
“Kanak-kanak adalah sumber penting bagi masa depan bandar ini. Jika mereka sihat dan yakin, mereka akan membesar menjadi warganegara yang baik dan membantu membina Bangkok yang lebih baik,” katanya.
Acara itu menarik perhatian dalam talian bukan sahaja kerana projek itu sendiri, tetapi juga imej yang dipaparkan di belakang podium semasa ucapan Chadchart.
Foto memaparkan dua kanak-kanak lelaki gempal, yang kemudian didedahkan sebagai Chadchart dan abang kembarnya, Chanchai Sittipunt, semasa zaman kanak-kanak mereka menarik perhatian netizen Thailand.- AGENSI










