JAKARTA: Kerajaan pusat Indonesia akan menyokong rancangan beberapa wilayah untuk tidak mengadakan pertunjukan bunga api semasa menyambut Tahun Baharu minggu ini, sebagai tanda solidariti kepada mangsa banjir di Pulau Sumatera.
Beberapa kerajaan wilayah dan pasukan polis, termasuk di ibu negara Jakarta serta pulau pelancongan Bali, memutuskan untuk tidak membenarkan pertunjukan bunga api bagi menghormati mangsa bencana, selepas banjir dan tanah runtuh di Sumatera meragut lebih 1,100 nyawa dan menyebabkan kira-kira 400,000 penduduk masih hilang tempat tinggal.
Jurucakap Pejabat Presiden Prabowo Subianto, Prasetyo Hadi berkata, kerajaan berpendapat langkah kerajaan wilayah mengharamkan atau menggesa orang ramai supaya tidak membakar bunga api semasa sambutan Tahun Baharu adalah wajar dan tepat.
“Ia adalah langkah yang tepat kerana kita perlu menunjukkan empati dan solidariti sebagai sebuah negara terhadap mereka yang terkesan akibat bencana,” katanya.
Polis di ibu kota Denpasar, Bali, mengharamkan pertunjukan bunga api Tahun Baharu, lapor agensi berita Antara pada 27 Disember.
Gabenor Jakarta turut memaklumkan minggu lalu tiada pertunjukan bunga api akan diadakan di bandar berpenduduk kira-kira 10 juta orang, selain menggesa penduduk supaya tidak menyalakan bunga api.
Pihak berkuasa Indonesia membina jambatan dan perumahan di kawasan Sumatera yang terjejas akibat banjir, termasuk di wilayah Sumatra Utara, Sumatra Barat dan Aceh.
Usaha pemulihan itu dianggarkan menelan kos sekurang-kurangnya AS$3.11 bilion (RM12.6 bilion).
Beberapa wilayah di pulau itu masih berada dalam keadaan darurat, kata Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia, Pratikno, dalam sidang media hari ini.
Dalam taklimat yang sama, Menteri Dalam Negeri, Tito Karnavian, berkata lebih 20 kampung di tiga wilayah berkenaan ‘lenyap’ selepas dihanyutkan banjir.- AGENSI









