ARAU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim menyerahkan kepada kepemimpinan tertinggi di peringkat pusat berkaitan isu akuan berkanun (SD) daripada lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) gabungan itu yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Shahidan berkata, ADUN-ADUN PN juga perlu bertenang dengan menyerahkan kepada pusat untuk memutuskan termasuk jika ada pertukaran Menteri Besar tersebut.
Beliau juga mengesahkan tiada sebarang pakatan terancang berhubung SD tersebut dan tidak melihat sebarang persetujuan rasmi dibuat berhubung perkara itu dengan berkemungkinan hanya melibatkan tindakan secara individu.
“Apa pun, sebarang keputusan yang dibuat seharusnya ditentukan oleh parti di peringkat pusat termasuk membabitkan penentuan calon Menteri Besar. Jika parti membuat keputusan, keputusan itu akan disampaikan kepada Tuanku (Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail).
“Namun, apa yang berlaku sekarang lebih kepada spekulasi. Kita akan menghadiri mesyuarat di peringkat pusat dan kepimpinan akan memutuskan langkah seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Dana Pendidikan Yayasan Fawwaz Tahun 2025 di Pusat Khidmat Kubang Gajah, di sini, hari ini.
Semalam media melaporkan, lapan ADUN PN Perlis didakwa telah bertemu Raja Perlis bagi menyerahkan SD menyatakan penolakan sokongan terhadap Mohd. Shukri.
Mereka yang menyerahkan SD itu didakwa lima ADUN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tiga dari Pas. Bersatu juga difahamkan telah mengemukakan tiga nama sebagai calon Menteri Besar manakala nama calon dari Pas masih belum.
Shahidan berkata, perkara lebih utama adalah bagi mencari penyelesaian secara berhemah berhubung perkara itu dan bukannya menerusi pendekatan bergaduh atau berkonfrontasi.
“Kita menang kerana rakyat melihat kita bersatu. Saya tidak mahu perkara ini dijadikan alasan oleh mana-mana pihak untuk melemahkan PN. Ini bukan krisis, tetapi perbezaan pendapat. Jika krisis sebenar berlaku, sudah tentu pelbagai pihak akan dipanggil untuk menyelesaikannya,” katanya.
Mengulas berhubung pelantikan Menteri Besar, Shahidan berkata, secara lazimnya, Raja Perlis akan memilih individu yang mendapat sokongan majoriti bagi memegang jawatan tersebut.
“Pas mempunyai sembilan kerusi di Perlis dan keputusan itu bergantung kepada sokongan tersebut. Bagi saya, isu ini bukan soal jawatan, tetapi bagaimana kita menguruskan dengan baik, secara berhemah dan penuh kebijaksanaan.
“Oleh itu, saya menyeru semua pihak supaya bertenang, tidak membuat kenyataan berlebihan dan memberi ruang kepada kepimpinan pusat untuk membuat keputusan muktamad,” katanya.-UTUSAN










