Tentera Thailand, Kemboja kembali berunding untuk capai damai

Tentera Thailand, Kemboja kembali berunding untuk capai damai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Pegawai tentera Thailand dan Kemboja memulakan rundingan pada Rabu, beberapa hari selepas kedua-dua pihak bersetuju membincangkan penyambungan semula gencatan senjata susulan 16 hari pertempuran sengit di sempadan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 86 nyawa.

Rundingan itu diadakan dua hari selepas mesyuarat khas menteri luar Asia Tenggara di Kuala Lumpur, yang diadakan bagi memulihkan perjanjian damai diusahakan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, selepas pusingan pertempuran pada Julai.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Surasant Kongsiri berkata, mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan pada Rabu berlangsung selama tiga hari dan berpotensi membuka jalan kepada satu perjanjian.

Rundingan tersebut diadakan di pusat pemeriksaan sempadan di bahagian selatan sepanjang 817 kilometer (km) sempadan Thailand-Kemboja.

“Jika mesyuarat sekretariat berjalan lancar dan menghasilkan persetujuan, maka satu pertemuan antara menteri pertahanan kedua-dua negara akan diadakan pada 27 Disember,” kata Surasant kepada wartawan.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata berkata, rundingan bermula pada 4.30 petang waktu tempatan, dipengerusikan oleh jeneral dari kedua-dua pihak.

Mesyuarat ini merupakan langkah paling penting sejak pertempuran meletus semula dan susulan usaha berasingan yang tidak berjaya oleh Malaysia, China dan AS untuk membawa kedua-dua negara ke meja rundingan.

Kemboja dan Thailand saling menuduh antara satu sama lain melakukan pencerobohan serta melanggar gencatan senjata dipertingkatkan yang dicapai pada Oktober lalu di Malaysia dengan kehadiran Trump.

Dalam perjanjian itu, kedua-dua pihak berjanji melaksanakan kerja menghapuskan ranjau serta mengundurkan tentera dan senjata berat dari kawasan yang menjadi pertikaian kedaulatan selama beberapa dekad.

Sehingga kini, pertempuran antara Thailand dan Kemboja masih berterusan, dengan kedua-dua pihak bertempur di beberapa lokasi sejak awal Disember, merangkumi kawasan hutan berhampiran Laos hingga ke wilayah pesisir Teluk Thailand.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN