PUTRAJAYA: Tempoh hukuman penjara terhadap seorang bekas pekerja teknologi maklumat (IT) yang menyebabkan kematian seorang pemandu kereta dalam satu insiden di Lebuh Raya Utara-Selatan pada enam tahun lalu dikurangkan.
Hakim Mahkamah Persekutuan di sini, Datuk Nordin Hassan membuat keputusan mengurangkan hukuman penjara terhadap tertuduh Yew Wei Liang, 47, daripada 16 tahun kepada 12 tahun.
Panel tiga hakim diketuai Nordin yang mengekalkan sabitan dijatuhkan Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap tertuduh namun membenarkan rayuan akhir bagi pengurangan hukuman penjara.
Nordin dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati tiada sebarang kekhilafan dalam sabitan yang diputuskan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Dalam prosiding sama, panel turut menolak rayuan silang pihak pendakwaan untuk mengembalikan pertuduhan daripada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kepada Seksyen 302 kanun sama, selain menolak rayuan pihak pembelaan untuk mengetepikan sabitan serta hukuman.
“Mahkamah tidak terkhilaf dalam membuat keputusan, namun berpendapat tempoh pemenjaraan selama 16 tahun adalah tinggi dan agak keterlaluan.
“Oleh itu, mahkamah mengurangkan hukuman daripada 16 tahun kepada 12 tahun,” katanya yang bersidang bersama Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Lee Swee Seng.
Sejurus selepas keputusan dibacakan, Wei Liang dilihat menangis kesyukuran selepas rayuannya untuk mengurangkan hukuman dibenarkan.
Semasa prosiding, peguam, Datuk N. Sivananthan mewakili perayu manakala Timbalan Pendakwa Raya, Ng Siew Wee bertindak sebagai responden.
Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 16 tahun terhadap Wei Liang selepas menolak rayuannya untuk mengurangkan tempoh pemenjaraan itu serta mendapati keputusan Mahkamah Tinggi adalah betul.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 Disember 2023 menjatuhi hukuman penjara 16 tahun selepas mendapati Wei Liang bersalah melanggar sehingga menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial Syed Syakir
Mengikut pertuduhan asal, Wei Liang didakwa membunuh Syed Muhammad Danial, 29, yang juga pengurus bank, di Kilometer 293.6 Lebuhraya Utara-Selatan antara pukul 1 tengah hari hingga 2 petang pada 10 Ogos 2019.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, ketika membaca keputusan kes, Hakim Julia Ibrahim mensabitkan tertuduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.
Hakim itu berkata, dalam menentukan hukuman yang wajar dikenakan ke atas tertuduh, mahkamah mengambil kira faktor mitigasi termasuk latar belakang, kesalahan pertama serta kerjasama tertuduh semasa siasatan. – UTUSAN










