GUA MUSANG: Jalan Gua Musang-Lojing di Kilometer 45 berhampiran Pos Blau di sini, ditutup kepada semua kenderaan susulan kejadian tanah runtuh bermula awal pagi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian itu mula dikesan sejak dua hari lalu namun ia melibatkan runtuhan yang kecil.
“Sejak malam tadi runtuhan di kawasan itu menjadi lebih serius.
“Selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat pemeriksaan mereka mengambil keputusan untuk menutup laluan ini kepada semua kenderaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, JKR Gua Musang menerusi satu hantara yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook memaklumkan penutupan bermula hari ini sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan dua laluan alternatif sebagai jalan perhubungan sementara.
Pengguna jalan raya dari Gua Musang yang mahu ke Cameron Highlands, Pahang boleh menggunakan laluan Sungai Koyan-Ringlet-Cameron Highlands.-UTUSAN










