Steven Sim tunai hasrat bapa dua anak buat tuntutan Perkeso

Steven Sim tunai hasrat bapa dua anak buat tuntutan Perkeso

STEVEN Sim Chee Keong (duduk, dua dari kiri) ketika menyerahkan replika cek bernilai lebih RM9,100 kepada Ah Aik (duduk, dua dari kanan) di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Hasrat seorang bapa kepada dua anak untuk membuat tuntutan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tertunai apabila kisah hidupnya mendapat perhatian daripada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Steven yang berkongsi kegembiraan itu menerusi laman Facebook miliknya hari ini berkata, beliau terpanggil untuk menghulurkan bantuan selepas dihubungi oleh lelaki terbabit iaitu Ah Aik atau mesra disapa sebagai Uncle Ah Aik, 53, bulan lepas.

Beliau berkata, ketika itu, Ah Aik langsung tidak bimbang akan keadaan dirinya sendiri walaupun kakinya patah manakala badannya pula tak sihat akibat ditimpa kemalangan.

Sebaliknya, kata Steven, Ah Aik yang bekerja sebagai penjaga stor itu sangat-sangat khuatir akan masa depan anak-anaknya walaupun dia sendiri tidak dapat berjalan dan perlu menggunakan tongkat empat kaki untuk bergerak akibat kemalangan tersebut.

“Majikan dia mai (datang) melawat beberapa hari selepas kemalangan. Dia (majikan) hulur (duit) dua bulan gaji dan sekeping surat. Tapi, Ah Aik tak reti membaca. Dia ingat itu cuma bantuan.

“Rupa-rupanya itu sebenarnya surat kena pecat. Oleh sebab pada awalnya Ah Aik tak masukkan dokumen lengkap, maka, tuntutan Perkeso pun ditolak. Dahlah kena ‘accident’ (kemalangan), kaki patah, kerja tak ada, Perkeso pun tak dapat,” kata Steven.

Menurut Steven, lelaki tersebut menjadi semakin buntu apabila memikirkan situasi dua anaknya yang masih bersekolah manakala isterinya pula hanya bekerja di kilang menjahit baju dengan pendapatan sebanyak RM1,700 sebulan.

“Oleh itu, saya berjanji untuk bantu dia melengkapkan segala permohonan dan kemudian buat rayuan kepada Perkeso. Menteri sekali pun kena ikut prosedur dan undang-undang juga,” ujarnya.

Jelas Steven, hari ini, dia berpeluang menziarahi Ah Aik di rumah lelaki tersebut dengan membawa satu berita gembira.

“Rayuan tuntutan Perkeso itu sudah berjaya! Saya hulurkan cek RM9,100 kepada Ah Aik dan Perkeso akan uruskan faedah-faedah lain selepas ini. Walaupun putus gaji buat masa ini, tapi, sekurang-kurangnya keluarganya kini tak putus makan.

“Saya juga beritahu Ah Aik, Perkeso akan bantu dia dari segi rawatan pemulihan dan apabila masa dia sudah sembuh, MyFutureJobs pula akan bantu untuk mencari kerja lain,” ujar beliau.

Tambah Steven, dengan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Lindung 24 Jam di Dewan Rakyat awal bulan ini dan akan dibentangkan di Dewan Negara pada 17 Disember nanti, beliau berharap agar RUU itu dapat dilaksanakan secepat mungkin agar lebih ramai golongan pekerja menerima manfaat seperti Ah Aik.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN