Russia dituduh dalang serangan siber, ganggu pilihan raya Jerman

Russia dituduh dalang serangan siber, ganggu pilihan raya Jerman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Jerman menuduh Moscow melakukan serangan siber terhadap kawalan trafik udara serta cuba campur tangan dalam pilihan raya, dan memanggil duta Russia untuk memberi penjelasan.

Jurucakap kementerian luar berkata, perisikan tentera Russia bertanggungjawab terhadap ‘serangan siber ke atas kawalan trafik udara Jerman pada Ogos 2024’.

Jurucakap itu turut menuduh Russia cuba mempengaruhi dan menggugat kestabilan pilihan raya persekutuan negara itu pada Februari tahun ini.

Beliau berkata Jerman, dengan penyelarasan rapat bersama rakan kongsi Eropah, akan mengambil langkah balas bagi memastikan Russia ‘membayar harga atas tindakan hibridnya’.

Setakat ini, Russia belum memberikan sebarang maklum balas.

Jurucakap itu berkata, serangan siber pada Ogos 2024 boleh dikaitkan dengan kumpulan penggodam Russia, Fancy Bear.

“Penemuan risikan kami membuktikan perkhidmatan risikan tentera Russia, GRU, bertanggungjawab terhadap serangan ini,” katanya.

Jurucakap kementerian turut berkata, ia pasti Moscow cuba ‘mempengaruhi dan menggugat kestabilan pilihan raya persekutuan yang lalu serta urusan dalaman Republik Persekutuan Jerman’ melalui satu kempen maklumat palsu dikenali sebagai Storm 1516.

Kempen itu, menurutnya, turut menumpukan sebahagiannya kepada calon utama Parti Hijau, Robert Habeck, dan calon utama CDU, Friedrich Merz, yang kini merupakan canselor.

Kerajaan Jerman berkata, agensi keselamatan mengesan video palsu yang mendakwa berlakunya manipulasi undi sebagai sebahagian daripada usaha penyebaran maklumat salah oleh Russia hanya beberapa hari sebelum pilihan raya berlangsung.

Fancy Bear dikatakan sebelum ini pernah membocorkan data Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dan memainkan peranan penting dalam serangan siber terhadap Jawatankuasa Kebangsaan Demokratik AS pada 2016, menurut pakar keselamatan.

Tuduhan terbaharu timbul di tengah kebimbangan meningkat di Eropah berhubung serangan siber Russia yang disyaki sejak Moscow melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine pada 2022.

Walaupun masih belum memberikan reaksi terhadap tuduhan terbaharu, Moscow sebelum ini menafikan dakwaan Eropah mengenai sabotaj atau kempen hibrid oleh Russia.- BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN