PETALING JAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan tuduhan bekas Pengerusi parti itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya beliau mencuri dan menyimpan wang parti di rumahnya.
Muhyiddin berkata, tuduhan menerusi rakaman video tular itu adalah sangkaan yang tidak berasas.
“Saya tidak pernah mencuri wang parti. Semua sumbangan kepada parti dimasukkan ke dalam akaun parti yang diurus secara telus oleh Bendahari Agung.
“Dakwaan sedemikian dibuat berkemungkinan kerana beliau mendapat maklumat yang tidak benar daripada pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor mendakwa rakaman video pertemuan mereka dengan Dr. Mahathir baru‑baru ini telah dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab demi kepentingan politik.
Video dua minit itu menunjukkan Dr. Mahathir menuduh Muhyiddin mencuri wang parti, kemudian tular dalam media sosial.
Muhyiddin berkata, sebagai seorang negarawan, Dr. Mahathir sepatutnya mendapatkan penjelasan daripadanya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan.
Beliau hairan kerana Dr. Mahathir tidak pernah membangkitkan perkara itu ketika beberapa kali pertemuan mereka berlangsung.
“Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah ke atas diri saya.
“Bagaimanapun, saya tetap menghormati Dr. Mahathir sebagai orang tua. Saya sendiri telah menyokong usaha-usaha beliau untuk mewujudkan perpaduan orang Melayu dan hubungan kami adalah akrab.
“Oleh yang demikian, saya tidak berhasrat untuk mengheret beliau ke mahkamah,” katanya. – UTUSAN










