Rumah Putih lancar laman web khas kritik media putar belit liputan

Rumah Putih lancar laman web khas kritik media putar belit liputan

PRESIDEN AS, Donald Trump berucap kepada media di halaman selatan Rumah Putih di Washington, DC, pada 5 Oktober lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Rumah Putih melancarkan satu bahagian baharu di laman web rasminya yang menyenaraikan dan mengkritik organisasi media serta wartawan didakwa memutarbelitkan liputan.

Halaman baharu itu menamakan Boston Globe, CBS News dan The Independent sebagai ‘pesalah media minggu ini’, dengan menuduh mereka menggambarkan kenyataan Presiden Donald Trump secara tidak tepat mengenai enam ahli Demokrat yang mengeluarkan video menggesa anggota tentera untuk tidak mematuhi arahan tidak sah.

Kontroversi tercetus selepas Trump menuduh anggota Demokrat melakukan ‘tingkah laku menghasut yang boleh dihukum mati’ di media sosial, selain menyiarkan semula kenyataan yang mengandungi perkataan ‘gantung mereka’.

Menurut laman tersebut, Demokrat dan media berita palsu secara subversif menggambarkan seolah-olah Trump mengeluarkan arahan tidak sah kepada anggota tentera.

Katanya, setiap arahan yang dikeluarkan Presiden Trump adalah sah.

Tindakan ahli Kongres menghasut ketidakpatuhan dalam tentera Amerika Syarikat (AS) adalah berbahaya, dan Trump menggesa mereka dipertanggungjawabkan.

Halaman itu turut memaparkan ‘Dewan Pesalah Media’, yang menyenaraikan organisasi seperti Washington Post, CBS News, CNN dan MSNBC.

Pengunjung boleh menyemak pangkalan data artikel, lengkap dengan nama wartawan yang menulis laporan berkenaan.

Setiap artikel diklasifikasikan mengikut label seperti ‘berat sebelah’, penyalahgunaan etika kewartawanan atau cenderung sayap kiri.

Senarai kedudukan semasa meletakkan Washington Post sebagai ‘pesalah utama’, diikuti MSNBC dan CBS News.

Di luar senarai mingguan, halaman itu turut menyasarkan agensi berita utama lain, termasuk Associated Press, New York Times, Wall Street Journal, Politico dan Axios, yang dituduh menyebarkan maklumat berat sebelah atau tidak tepat.

Pelancaran halaman baharu tersebut menandakan serangan berterusan Trump terhadap media.

Ia susulan tuntutan mahkamah terhadap Wall Street Journal dan New York Times, penyelesaian undang-undang dengan ABC serta CBS, selain kenyataan Trump yang melabelkan media arus perdana sebagai ‘musuh rakyat’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN