ACEH: Penduduk di wilayah Aceh, Indonesia, mengibarkan bendera putih sebagai isyarat mereka tidak lagi mampu menghadapi keadaan tiga selepas Taufan Senyar melanda tiga wilayah di Sumatera.
Lebih 1,000 orang di pulau Sumatera dilaporkan maut akibat bencana yang berlaku pada 25 November lalu.
Namun, bantuan kerajaan sukar untuk sampai ke beberapa kawasan terpencil dan selain kekurangan makanan serta bekalan elektrik yang masih belum dipulihkan, masalah kesihatan seperti demam, kepialu dan penyakit kulit turut menimpa mangsa bencana.
Keadaan itu memaksa penduduk mengibarkan bendera putih di hadapan rumah, di sepanjang lebuh raya utama serta pos kecemasan dan pusat pemindahan.
Pejabat kerajaan tempatan juga menaikkan bendera putih sebagai protes terhadap tindak balas lambat kerajaan pusat dalam menguruskan bencana itu, menurut laporan media tempatan.
Kerajaan Indonesia menolak sebarang tawaran bantuan antarabangsa, kononnya negara itu mampu menyokong operasi kecemasan sendiri.
“Ramai penduduk dan sukarelawan mengibarkan bendera putih kerana mereka tidak lagi mampu menahan keadaan yang semakin parah,” kata seorang penduduk Banda Aceh yang terlibat dalam misi kemanusiaan, Rahmiana.
Bencana dahsyat itu memusnahkan ribuah rumah dan melumpuhkan ekonomi tempatan, dengan pegawai kanan kerajaan menyatakan kos pembinaan semula di kawasan terjejas dijangka mencecah sekurang-kurangnya AS$3.11 bilion (RM12.7 bilion).
Aceh mencatatkan jumlah korban tertinggi, dengan 431 orang disahkan maut dan 32 lagi masih hilang.
Sumatera Utara mencatatkan 355 kematian dan 84 orang hilang, manakala Sumatera Barat melaporkan 244 kematian dan 90 lagi hilang, menurut laporan Jakarta Globe kelmarin.
Kira-kira 7,000 orang cedera dan 186,500 rumah rosak atau musnah akibat banjir tersebut.
Mangsa kini bergelut dengan kelaparan, kekurangan bekalan serta ketidakpastian bila bantuan mencukupi akan sampai ke kawasan mereka.
BEKALAN MAKANAN BERKURANG
Di Aceh Timur, bendera putih berjajar di sepanjang jalan sehingga ke daerah Aceh Tamiang.
Bendera juga dilihat di sepanjang lebuh raya utama yang menghubungkan ibu kota Banda Aceh ke Medan di Sumatera Utara, menurut Kompas.
“Rakyat sudah berputus asa dan memerlukan bantuan. Kami tidak mampu bertahan lagi,” kata seorang penduduk kampung Alue Nimbong di Aceh Timur, Bahtiar.
Katanya, banjir melanda tiga minggu lalu, namun bantuan yang sampai ke komuniti terjejas masih sangat terhad.
Media tempatan melaporkan, penduduk mengambil inisiatif sendiri menubuhkan dapur komuniti, dengan berkongsi sedikit makanan yang ada, namun bekalan semakin berkurang dan ramai mangsa kelaparan.
Rakyat Aceh juga menuntut penilaian kerosakan dengan segera sebagai asas untuk usaha pemindahan dan pembinaan semula.
Mereka yang kehilangan rumah, tanah dan sumber pendapatan menuntut jaminan pemulihan ekonomi, lapor Kompas.
“Bendera ini dikibarkan sebagai tanda darurat, untuk meminta masyarakat antarabangsa membantu Aceh,” kata Bahtiar.
Pemimpin asing menawarkan bantuan, tetapi Presiden Prabowo Subianto pada Isnin lalu mendakwa situasi bencana di negaranya masih terkawal.
“Saya ucapkan terima kasih atas keprihatinan anda, tetapi kami boleh mengendalikannya,” kata Prabowo.
SUMBANGAN AWAM TIDAK SAMPAI
Namun, masalah dalam pengagihan bantuan dilaporkan memburukkan lagi keadaan di lapangan.
Badan bukan kerajaan (NGO) Indonesia, Auriga berkata, banyak kumpulan komuniti dan sukarelawan yang cuba menghantar bantuan ke Sumatera berdepan kekangan pengangkutan.
Pengarah penguatkuasaan undang-undang Auriga, Roni Saputra berkata, syarikat penerbangan nasional mengutamakan penghantaran bantuan kerajaan, menyebabkan sumbangan awam dari Jakarta ke Aceh tidak dapat dihantar.
Auriga menyifatkan keadaan itu sebagai bentuk kecuaian negara dalam memastikan pengurusan bencana yang adil dan berkesan, lapor Kompas.
Pergerakan Rakyat Bersatu Aceh turut mengadakan bantahan di Aceh Tamiang serta beberapa daerah lain untuk menekan kerajaan pusat mengisytiharkan bencana negara.
Langkah itu dijangka membolehkan tindak balas kecemasan yang lebih berselaras dan meningkatkan skala bantuan secara signifikan.
Penduduk terjejas menuntut tambahan logistik, petugas perubatan, peralatan berat dan bentuk bantuan lain yang tidak dapat disediakan oleh pihak berkuasa tempatan.
Jurucakap kerajaan Aceh, Teuku Kamaruzzaman berkata, penduduk hidup selama berminggu-minggu tanpa bekalan elektrik atau komunikasi, walaupun di kawasan yang agak selamat seperti Banda Aceh dan Aceh Besar.
Kekurangan bahan api dan gas petroleum cecair mengganggu lagi perusahaan kecil dan sederhana serta industri rumah, selain menaikkan harga keperluan asas.
Beliau berkata, kapasiti tindak balas bencana kerajaan pusat kelihatan sangat terhad, tanpa kehadiran jelas petugas penyelamat terlatih.
Kamaruzzaman turut menegaskan, tiada operasi logistik udara berskala besar seperti yang dilaksanakan semasa tsunami 2004.
Isnin lalu, Prabowo mendakwa mengarahkan penubuhan segera sebuah badan khas atau pasukan petugas untuk mengawasi pemulihan dan pembinaan semula di tiga wilayah di Sumatera.
Katanya, pemulihan perumahan dan infrastruktur akan menjadi keutamaan, tanpa memberikan butiran lanjut mengenai pasukan petugas atau garis masa pelaksanaan.










