KANGAR: Rakyat Malaysia dinasihat menangguhkan perjalanan ke Hatyai sehingga proses pembersihan pasca banjir selesai dan premis-premis makanan serta pusat tumpuan pelancong kembali beroperasi.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, saranan itu adalah selepas mengambil kira keadaan bandar Hatyai yang masih terjejas pasca banjir dan hujan lebat dijangka turun sehingga 20 Disember ini.
Katanya, buat masa ini, proses pembersihan kesan banjir masih dijalankan dan terdapat banyak lori serta kenderaan berat keluar masuk ke Hatyai bagi tujuan tersebut.
“Seperti semua sedia maklum, Hatyai telah dilanda banjir yang teruk tiga minggu lepas dan kerosakan harta awam dianggarkan sekitar RM1.3 billion,” katanya selepas menerima simbolik sumbangan Ibnu Sabil Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM5,000 daripada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail berkenan meninjau beberapa kawasan di Hatyai yang dilanda banjir teruk baru-baru ini. -UTUSAN










