KANGAR: Perlis Ultra Maraton (Putra) 2025 yang berlangsung dari 19 sehingga 20 Disember menarik
perhatian melalui kategori larian di laluan terpanjang sejauh 103 kilometer (km).
Putra 2025 yang memasuki edisi ketiga anjuran MEP21 dengan kerjasama Jabatan Perhutanan negeri dan Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Perlis itu turut melibatkan kategori larian sejauh 50 km dan 23 km.
Acara berkenaan memberi 1,001 kepuasan kepada lebih 1,000 peserta yang datang dari seluruh negara termasuk pelari dari luar negara.
Larian tersebut merangkumi laluan pinggir Banjaran Nakawan, Sungai Batu Pahat, Bintong, Bukit Papan, Pulau Ketam, Abi, Guar Jentik, Kaki Bukit, View Point Wang Kelian, Taman Sakura dan Kampung Warna- Warni Kuala Perlis dengan para peserta di sepanjang laluan turut dapat menikmati keindahan kawasan pelancongan di negeri ini yang kaya dengan keindahan alam semula jadi.
Pelepasan larian bagi tiga kategori itu bermula di Bukit Air Resort, Kompleks Eko Pelancongan Sungai Batu Pahat di sini pada pukul 12.05 pagi bagi acara 103km, 1.05 pagi (50km) dan 2.05 pagi (23km).
Pengarah Putra 2025, Ku Hasrin Ku Abd. Rahman berkata, Putra 3.0 merupakan acara larian terpanjang di titik paling utara semenanjung Malaysia yang diadakan secara dwi tahunan.
Katanya, salah satu acara larian Ultra Marathon iaitu bagi kategori 103km secara rasmi menjadikan ia larian terpanjang di Perlis setakat ini.
“Larian tersebut juga antaranya turut mempromosikan tujuh lokasi pelancongan menarik di sekitar negeri ini.
“Acara ini menawarkan pengalaman ultra endurance melalui laluan tempat pelancongan negeri dan diiktiraf oleh komuniti larian Malaysia sebagai penutup acara Ultra Marathon 2025,” katanya di sini semalam.
Peserta dari United Kingdom (UK), Chris Timms berjaya menamatkan larian di tempat pertama bagi kategori 103km dengan masa 9: 51: 25.
MEP21 sebagai penganjur Putra telah terlibat dalam penganjuran sukan pelancongan sejak 2015 dan akan terus bersama komuniti dan agensi kerajaan dalam menjayakan acara sebegini di dalam dan luar Perlis.-UTUSAN










