KUALA LUMPUR : Pasangan kekasih memiliki pelbagai jenis dadah terbongkar ditahan dalam serbuan Ops Tapis di sebuah bilik hotel di Chow Kit di sini hari ini.
Penahanan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Dang Wangi kira-kira pukul 3 pagi di sebuah hotel di Lorong Haji Hussien 1.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kedua-dua suspek ditahan merupakan seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah bilik tingkat empat hotel berkenaan sebelum polis menemukan sebuah beg berzip hitam yang menyimpan dadah pelbagai jenis.
“Antara dirampas melibatkan dua paket plastik lutsinar mengandungi syabu seberat 17.76 gram, dua paket mengandungi empat tiub straw heroin seberat 15.62 gram, 10 biji pil disyaki Erimin 5 seberat 3.12 gram serta lapan biji pil yaba seberat 0.88 gram,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, keseluruhan dadah itu dianggar bernilai RM2,664.10.
Jelasnya, siasatan mendapati lelaki terbabit memiliki 16 rekod dadah dan empat rekod jenayah, manakala wanita berusia 41 tahun itu mempunyai dua rekod dadah dan satu rekod jenayah.
“Ujian saringan awal air kencing dua suspek itu positif dadah,” katanya.
Menurutnya, kedua suspek kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. – UTUSAN










