BANGKOK: Parti Pheu Thai menamakan seorang lagi anggota keluarga Thaksin Shinawatra sebagai calon perdana menteri menjelang pilihan raya umum Thailand yang dijadualkan awal tahun depan.
Yodchanan Wongsawat, anak saudara Thaksin dan anak kepada bekas pemimpin negara Somchai Wongsawat, mengetuai senarai tiga calon perdana menteri parti itu yang diumumkan pada 16 Disember.
Turut dicalonkan ialah bekas Timbalan Menteri Kewangan dan ketua parti, Julapun Amornvivat serta ahli politik veteran, Suriya Juangroongruangkit.
Pilihan raya Thailand akan diadakan pada 8 Februari selepas Parlimen dibubarkan minggu lalu oleh Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul, yang dijangka memanfaatkan sentimen nasionalis susulan konflik bersenjata dengan Kemboja bagi mengekalkan kuasa.
Keputusan pilihan raya itu dijangka dipantau rapi oleh pelabur memandangkan Thailand terus berdepan ketidakstabilan politik, dengan Anutin menjadi perdana menteri ketiga sejak pilihan raya 2023.
Pencalonan Yodchanan menandakan usaha terbaharu Pheu Thai untuk menghidupkan semula pengaruh politik dinasti Shinawatra pada saat sokongan terhadap parti itu semakin terhakis.
Sebagai ahli akademik dalam bidang kejuruteraan bioperubatan, Yodchanan, 46, dilihat membawa imej teknokrat dan profesional, pendekatan yang berbeza berbanding tokoh politik tradisional keluarga itu.
Pengaruh politik keluarga Shinawatra bagaimanapun dilihat semakin merosot susulan runtuhnya persefahaman antara Pheu Thai dan kelompok konservatif pada awal 2025.
Selain Thaksin, yang memerintah Thailand dari 2001 sehingga digulingkan melalui rampasan kuasa pada 2006, lima lagi perdana menteri yang mempunyai kaitan dengan keluarganya atau parti sekutu disingkirkan melalui keputusan mahkamah atau rampasan kuasa.
Ogos lalu, anak perempuan Thaksin, Paetongtarn Shinawatra, digugurkan daripada jawatan perdana menteri selepas mahkamah mendapati beliau melanggar etika berkaitan pengendalian pertikaian sempadan dengan Kemboja.
Walaupun Thaksin berikrar tidak akan menghilang daripada arena politik Thailand, penyingkiran Pheu Thai daripada tampuk kuasa mencetuskan kemerosotan berterusan sokongan terhadap parti itu, menurut tinjauan pendapat terkini.
Pilihan raya akan datang kini dijangka menjadi pertembungan utama antara Parti Bhumjaithai pimpinan Anutin dan Parti Rakyat berhaluan reformis, yang secara konsisten mendahului carta populariti dalam kalangan pengundi.
Perkembangan itu menambah tekanan ke atas Pheu Thai, yang berdepan cabaran besar untuk mengekalkan pengaruhnya dalam landskap politik negara berkenaan.- BLOOMBERG










