KANGAR: Pakatan Harapan (PH) negeri menyokong agar kerajaan negeri sedia ada di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dikekalkan sehingga tamat penggal.
PH Perlis dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan negeri yang terbentuk pada hari ini adalah merupakan hasil mandat jelas rakyat melalui proses demokrasi yang sah dan ia wajib dihormati serta dipelihara.
Kata kenyataan itu, sebarang pergolakan dalaman atau percaturan kuasa hanya akan menimbulkan keresahan awam serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi pentadbiran negeri.
“PH Perlis mengambil pendirian tegas, jelas dan bertanggungjawab berhubung perkembangan politik semasa di negeri ini yang dibuat demi memastikan kestabilan pentadbiran, menjaga keharmonian Institusi Diraja serta mempertahankan kepentingan dan kebajikan rakyat Perlis keseluruhannya,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN Perlis didakwa telah bertemu Raja Perlis dengan majoriti menyatakan telah hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Difahamkan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga dikatakan telah mengemukakan tiga nama sebagai calon Menteri Besar manakala nama calon dari Pas, belum.
Dalam kenyataan sama, PH Perlis berkata, sebarang pergolakan politik dalaman mesti dihentikan segera berikutan pertelingkahan terbuka hanya melemahkan pentadbiran, mencalarkan imej negeri dan mengganggu tumpuan kerajaan dalam mengurus hal-hal asas rakyat.
“Keutamaan kerajaan negeri seharusnya diberikan sepenuhnya kepada pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat, peluang pekerjaan, kos sara hidup dan kemajuan negeri secara mampan,” katanya.
Ujar gabungan itu, semua pihak dalam kerajaan negeri juga diseru agar dapat mengutamakan muafakat, perbincangan tertib dan kebijaksanaan dalam menyelesaikan sebarang perbezaan.
“Politik yang matang, berhemah dan bertanggungjawab adalah kunci kepada kestabilan serta kemajuan sesebuah negeri. Dalam masa yang sama, PH Perlis juga menegaskan bahawa kepimpinan negeri mestilah beradab, matang dan menghormati Institusi Diraja,” katanya.-UTUSAN










