KANGAR: Kerajaan negeri sasar kehadiran lima juta pelancong ke Perlis sehingga tahun 2026 dalam menyemarakkan Tahun Melawat Perlis (TMPs) yang dilanjutkan sehingga tahun hadapan.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, sehingga September, seramai 3.4 juta pelancong direkodkan ke Perlis berdasarkan data Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Perlis (MOTAC).
Beliau berkata, sebagai usaha meningkatkan tarikan pelancong, kerajaan negeri juga bercadang membina sebuah Dataran dan Menara Jam dengan kos sebanyak RM5 juta.
“Projek ini bakal menjadi mercu tanda baharu kebanggaan Perlis bertempat di kawasan berhampiran Kompleks Seri Putra,” katanya semasa Mesyuarat Ketiga, Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Perlis Ke-15, semalam.
Mohd. Shukri berkata, pembangunan dataran itu diharap dapat menjadi ruang awam yang inklusif dan harmoni, tempat rakyat beriadah, bersantai, serta menjalankan pelbagai aktiviti komuniti bermanfaat.
“Menara jam yang bakal dibina itu juga bukan sekadar simbol ikonik negeri, tetapi turut berfungsi sebagai pusat sehenti promosi pelancongan dan penyebaran maklumat utama di Perlis,” katanya.
Ujar Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan sebanyak RM5.4 juta bagi pembaikan dan penyelenggaraan infrastruktur melibatkan kawasan rekreasi dan riadah.
“Kerajaan negeri komited memastikan kawasan rekreasi dan riadah termasuk infrastruktur kawasan pelancongan di Perlis berada pada tahap terbaik, selamat dan selesa,” katanya.-UTUSAN










